Abim: Titas elak siswa jadi seperti Alvin, Vivian
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mempertahankan pengajaran mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) di kalangan siswa yang menurutnya mampu memupuk rasa hormat antara kaum.
Presiden Abim, Amidi Abdul Manan berkata nilai yang dibawa dalam Titas malah boleh mengelakkan siswa bersikap seperti pasangan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Lee.
"Ia (Titas) memupuk rasa hormat di kalangan pelbagai bangsa dan menghargai kepelbagaian. Tak ada sesiapa cuba menghalau sesiapa atau cuba merendah dan meremeh mana-mana kaum," katanya.
Beliau berpendapat Titas wajib dan wajar diperkenal di institusi pengajian tinggi swasata (IPTS) memandangkan matapelajaran itu telah menjadi sebahagian daripada identiti institusi pendidikan di Malaysia.
"Ia wajar dan wajib (diperkenal di IPTS) sebab mereka juga adalah rakyat dan mahasiswa (Malaysia).
"Jadi perlu ada satu identiti Malaysia dan perlu belajar perkara ini.
"Kalau tak dia akan jadi macam bekas mahasiswa National University of Singapore, Alvin dan pasangannya Vivian," katanya lagi.
Amidi juga menangkis dakwaan NGO yang menyifatkan berpendapat bahawa ketetapan yang mewajibkan pengajaran Titas kepada siswa IPTS sebagai "indoktrinasi".
Katanya, kenyataan seperti itu merupakan dakwaan liar kerana sukatan Titas menurutnya langsung tidak menjurus kepada indoktrinasi Islam.
"Jelas ini adalah simptom Islamophobia yang berakar umbi dalam kelompok terbabit.
"Mereka gagal untuk mendalami Islam dan tanpa rasa tanggungjawab melemparkan tuduhan demikian.
"Kami sarankan agar mereka membaca dan memahami sukatan Titas sebelum membuat tuduhan liar," kenyataan itu dipetik.
Titas yang mula diperkenal pada tahun 1999 adalah kursus wajib kepada semua penuntut IPTA.
Pekeliling terbaru KPT menetapkan Titas menjadi sebahagian dari enam kursus bawah Mata Pelajaran Wajib yang diselaras sebagai Mata Pelajaran Pe
ngajian Umum di peringkat ijazah di IPTS.
Pekeliling terbaru untuk mata pelajaran dengan 3 jam kredit itu berkuatkuasa pada 1 September 2013.
Pengenalan Titas sebagai mata pelajaran wajib di IPTS mencuri perhatian ramai apabila Ahli Parlimen Kampar, Ko Chung Sen mempersoalkan pelaksanaannya yang wajib di kalangan pelajar Malaysia dan mengecualikan pelajar antarabangsa.
Beliau kemudian mencadangkan agar Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran kepada siswa untuk mempelajari kursus itu atau tidak berdasarkan keperluan kursus mereka.
Cadangan beliau kemudian disokong beberapa NGO anak muda Cina dikenali dengan nama Emco yang menganggap pengenalan mata pelajaran itu sebagai satu bentuk "indoktrinasi".

