DAP: ADUN BN seret Istana dalam isu kandang babi
Ucapan seoramg wakil BN berhubung ternakan babi di persidangan DUN Johor hari ini mengundang kemarahan wakil rakyat DAP hari ini apabila ADUN tersebut menyebut nama sultan negeri itu.
Drama itu bermula apabila Aziz Ismail (BN-Senggarang) membangkitkan bahawa kandang babi di kawasannya mungkin bersih tetapi berbau.
Aziz dalam ucapannya berkata, bau busuk tersebut mungkin akan dihidu oleh Sultan Johor ketika baginda mengadakan program jelajah bermotosikal mengelilingi negeri tersebut kelak.
Ketua blok pembangkang, Dr Boo Cheng Hau (DAP-Skudai) berdiri dan membantah kenyataan itu.
Dakwanya ia bertentangan dengan Peraturan Tetap DUN kerana memetik nama sultan dalam perdebatan.
Menurut Boo, Perkara 45(15) dalam Peraturan Tetap menetapkan bahawa nama Yang Di Pertuan Agong, sultan, gabenor negeri dan pemangku sultan tidak boleh digunakan bagi mempengaruhi perdebatan dalam dewan.
Beliau kemudian meminta speaker dewan menggesa Aziz menarik balik kenyataannya.
Speaker Datuk Mohamad Aziz bagaimana pun menolak gesaan itu atas alasan Aziz hanya menceritakan kejadian yang berlaku.
Ditemui selepas dewan berehat pada waktu tengahari, Boo menggesa Aziz Ismail agar memohon ampun kepada Sultan Johor, sidang DUN dan penternak babi.
"Jika tidak, kami akan failkan usul untuk membawa Aziz ke jawatankuasa hak dan keistimewaan dewan.
"Isu ini boleh disiasat tetapi tak perlulah seret nama baginda sultan...ini membuktikan sesetengah pihak tiada toleransi dengan komuniti tertentu," katanya.

