'Kita harap k'jaan menang kes kalimah Allah'
Sekumpulan kira-kira 300 orang penyokong kerajaan berhimpun di luar kompleks Istana Kehakiman pagi ini sementara menunggu kes rayuan isu kalimah 'Allah' di Mahkamah Rayuan.
Kumpulan penyokong terbabit, sebahagian besarnya terdiri daripada anggota Wanita Umno dan penyokong Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) berkumpul membaca surah Yaasin di pintu masuk kompleks mahkamah tersebut.
Kumpulan lelaki dan perempuan itu, antara lainnya dipimpin Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dan exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail, berhimpun sejak kira-kira jam 8.40 pagi.
Ibrahim turut mengambil peluang untuk berucap di perhimpunan bekrenaan, selain naib presidennya Datuk Zulkifli Noordin.
Sebahagian daripada peserta lelaki bacaan Yaasin memakai pengikat kepala berwarna merah dengan tulisan 'Perkasa' dan sebahagian yang lain pula memakai baju-T bertulisan "Allah Just For Muslim, Fight No Fear".
Sebahagian besar peserta perempuan pula, yang berpakaian warna merah putih, duduk di sebelah kanan pintu masuk mahkamah.
Sementara itu, seorang daripada penyokong tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Umairah (kanan) , 26 tahun, berasa "teruja dengan perjuangan untuk mempertahankan kalimah Allah".
"Saya berharap kes ini (kerajaan) akan menang.
"Insya-Allah kami akan berjuang habis-habisan," katanya yang bertugas sepenuh masa sebagai relawan Pertubuhan Kebajikan islam Darul Falah (Perkid).
Seorang lagi penyokong kerajaan, Abdul Rahim Sat (kiri, bawah), 41 tahun pula berasa "berkobar-kobar menanti keputusan hari ini".
"Kita akan terus berjuang lagi," katanya yang turut hadir pada perhimpunan yang sama 23 Ogos lalu.
Polis yang berkawal di sekitar mahkamah menyaring orang awam yang keluar dan masuk ke kompleks mahkamah.
Sementara itu, kumpulan Kristian yang diwakili beberapa peguam dan beberapa rahib turut memenuhi galeri awam mahkamah untuk mengikuti perbicaraan.
Kumpulan Kristian tersebut melibatkan Sidang Injil Borneo Sabah, Majlis Gereja Sabah dan Persatuan Gereja Sarawak.
Turut hadir adalah badan Kristian utama semenanjung, termasuk Majlis Gereja dan Persekutuan Kristian Malaysia dan Sidang Injil Borneo Semenanjung.
Kumpulan Kristian terbabit menjadi pemerhati dalam kes berkenaan.
Tujuh majlis agama Islam dan Persatuan Cina Muslim Malaysia juga menjadi pemerhati dalam kes tersebut.

