IGP: Lelaki ugut saya terpelajar tetapi celupar
dikemaskini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid abu Bakar berkata individu yang menyerah diri kepada polis semalam selepas disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap beliau di laman Facebook akan dibebaskan hari ini.
Namun, tegasnya, orang ramai perlu mengambil pengajaran daripada kejadian agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial agar tidak disalah anggap.
"Saya mengambil keputusan untuk membebaskan dia hari ini sebab saya rasa dia ini terpelajar tetapi dia ini mulut celupar," katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, seorang peniaga jualan langsung dilaporkan direman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras berhubung kes ugutan bunuh tersebut.
Dia didakwa mengeluarkan komen dalam Facebook di bawah nama Murugan Nagaretinam dengan menulis: "can anyone just hire gunman to shoot down this police or igp?" semasa memberi komen dalam laman sosial kawannya mengenai kejayaan polis menembak mati dua lelaki dipercayai anggota kongsi gelap Geng 36.
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa tindakan undang-undang tidak akan dikenakan terhadap seorang peniaga jualan langsung berhubung kes ugutan bunuh terhadap ketua polis negara melalui laman sosial, Khamis lepas.
Perkara itu diputuskan oleh Khalid sendiri selepas memaafkan tindakan lelaki berusia 33 tahun itu dan akan membebaskannya hari ini selepas kenyataannya diambil semalam.
"Saya telah semak latar belakang dia dan kita (polis) melihat dia merupakan orang terpelajar, kita juga telah kaji kenapa dia bertindak sedemikian dan sebagainya...mungkin kerana emosi, dia terlepas cakap," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.
Ketika ditanya sama ada tindakan itu menunjukkan kelonggaran yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau menegaskan: "Kita mahu masyarakat tahu bahawa kita bukan 'gila' sangat hendak menangkap dan tuduh orang".
"Tetapi saya ingatkan dia agar tidak mengulangi perkara sama dan berharap tidak ada yang akan melakukan perkara sama dengan mengeluarkan percakapan atau entry dalam laman sosial yang berunsur ugutan kerana ia boleh disalahertikan pihak lain.
"Bagaimanapun dalam menghadapi kes seperti itu (ugutan bunuh), pihak polis tetap akan menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang yang ada tidak kira siapa yang diugut atau siapa yang mengugut," katanya.

