VIDEO / 3:02 MINIT

Tinggal kira-kira 48 jam menjelang pemilihan kepimpinan Pemuda Umno di peringkat bahagian dan pusat Sabtu ini, nampaknya Khairy Jamaluddin masih di hadapan untuk mempertahankan jawatan ketua Pemuda Umno untuk penggal kedua.

Kedudukan dan kelebihannya sebagai menteri kabinet yang sering mendapat liputan media, dilihat terlalu kuat untuk dicabar oleh empat pesaingnya yang lain.

Ahli parlimen Rembau itu hampir pasti akan terus memimpin sayap Umno itu dan mengemudi jentera pergerakan itu untuk tiga tahun akan datang.

Dalam pemilihan 2009 lalu, Khairy merebut jawatan ketua Pemuda Umno, dengan menewaskan dua pemimpin popular ketika itu - bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dan menteri besar Kedah sekarang, Datuk Mukhriz Mahathir.

Kalau diimbau kembali pertandingan merebut jawatan ketua Pemuda Umno pada pemilihan itu, Khairy berjaya mendapat 304 berbanding Khir Toyo dengan 284 undi dan Mukhriz 232 undi.

Kali ini, pencabar beliau terdiri daripada pemimpin peringkat cawangan dan bahagian Umno, dan mereka dilihat tidak menggugat pengaruh KJ - nama mesra Khairy dalam arena politik tanah air.

Pencabarnya terdiri daripada penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Selangor Syed Rosli Syed Harman Jamallulail; Ketua Pemuda cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; bekas ketua Pemuda Umno bahagian Merbok, Abd Karim Ali serta ketua Pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.

"Dari awal pemilihan lagi, sudah jelas KJ di hadapan," kata calon exco Pemuda, Zaidel Baharuddin ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Suasana berbeza

Cuba, berbeza dengan suasana pemilihan pada 2009 di mana hanya sekitar 800 perwakilan yang membuat pemilihan, kali ini ia membabitkan kira-kira 70,000 perwakilan Pemuda di peringkat bahagian.

Jadi, para pemerhati politik berpendapat bahawa calon-calon lain juga mempunyai peluang untuk meraih sokongan. Namun, di atas kertas, peluang KJ dilihat lebih cerah untuk mengekalkan kedudukannya.

Menyedari situasi itu, pencabarnya hanya mempunyai dua pilihan - sama ada meyakinkan perwakilan tentang wawasan mereka atau mengkritik rekod kepimpinan Khairy dengan lebih 'keras' termasuk dasar, pembawaan, tindakan dan idea yang diperkenalkan beliau.

Syed Rosli dilihat paling lantang berkempen terhadap Khairy, termasuk mendakwa menteri belia dan sukan itu telah menggunakan jentera kementeriannya untuk berkempen.

Manakala Akhramsyah pula dilihat sebagai pencabar terdekat Khairy. Beliau adalah ketua Pemuda cawangan Bendang Baru, Langkawi.

Akhramsyah adalah anak Tan Sri Sanusi Junid yang merupakan bekas setiausaha agung Umno dan orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri.

Namun exco pemuda yang bertanding jawatan naib ketua, Mohamad Iruan Zulkefli berpendapat wujud perbezaan yang menurutnya 'terlalu jauh' di segi kebolehan dan pengalaman di antara Khairy dan Akhramsyah.

"KJ dan Akhramsyah ini ibarat langit dan bumi," kata Mohamad Iruan ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Tebus kekalahan 2009

Seorang lagi pemimpin Pemuda pusat yang enggan namanya disebut berpandangan bahawa Akhramsyah sepatutnya bertanding menebus kegagalannya memenangi kerusi exco Pemuda pada 2009 dan bukannya bercita-cita merebut jawatan ketua pergerakan itu.

"Akhramsyah bertanding jawatan exco pada 2009 pun kalah. Sekarang dia hendak lompat terus ke jawatan ketua Pemuda. Dia kena tebus dahulu kekalahan tahun 2009," kata pemimpin itu.

Manakala Irwan Ambak dan Abdul Karim pula umumnya dilihat kurang dikenali di peringkat akar umbi dan penyertaan mereka bertanding jawatan ketua Pemua itu dilihat sekadar memenuhi hasrat demokrasi dalam parti.

Peraturan awal pemilihan yang menetapkan calon-calon agar berkempen melalui media sosial dan media massa sahaja tanpa kempen secara peribadi juga sebenarnya memberikan kelebihan kepada Khairy.

Sehingga petang semalam, sebagai pemegang akaun Twitter yang disahkan (@KhairyKJ) dengan kira-kira 360,000 pengikut, beliau mempunyai jangkauan media sosial yang lebih luas berbanding calon-calon lain.

Pesaingnya, Akhramsyah (@AMUBAIDAHS) mempunyai 506 pengikut di Twitter, Irwan Ambak (@IrwanAmbak) sekadar mempunyai 53 pengikut, dan Syed Rosli (@SyedRosli1) pula mempunyai sembilan pengikut sahaja sewaktu berita ini ditulis.

Tercorot, Abdul Karim Ali (@CaremMerbok) pula hanya mempunyai seorang pengikut.

Justeru, berdasarkan perkembangan semasa dan pengalaman beliau yang masak dengan politik peringkat nasional termasuk kubu kuatnya di Perak, Sabah dan Kelantan, maka dilihat mudah bagi Khairy mempertahankan jawatannya.