VIDEO l 1:20 minit

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, tiada keperluan baginya pada masa ini untuk bertanding jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh pemimpin popularnya Mohamad Sabu.

"Saya merasakan tidak ada keperluan untuk saya buat masa ini untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang telah mencalonkan saya untuk jawatan ini dan terharu atas kepercayaan yang sangat bermakna kepada perjuangan saya selama ini," katanya.

NONEKenyataan Salahuddin (kanan) itu kali pertama dibuat secara terbuka setelah dicalonkan bersama seorang lagi naib presiden Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tun Man dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohamad sudah menyatakan pendiriannya mempertahankan jawatan yang dimenanginya dua tahun lepas.

Kenyataan Salahuddin itu juga dibuat setelah peluang Mohamad yang genting sebulan ini dilihat terbuka kembali.

Ini ekoran kemungkinan pecahnya undi calon kumpulan proulama antara Tuan Ibrahim dan Mohd Amar.

Husam juga sebelum ini sudah berkata tiada sebab baginya untuk melawan "Abang Mat", menjadikan tumpuan beralih kepada Tuan Ibrahim dan Mohd Amar yang masih membisu terhadap pencalonan yang diterima mereka.

'Tunggulah pengumumkan j'kuasa pemilihan'

Sementara itu, dalam kenyataannya awal pagi ini, Salahuddin juga berkata sudah membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatan yang disandangnya pada masa ini, tetapi enggan mendedahkannya.

NONE"Keputusan telah saya buat dan telah saya serahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti," kata pemimpin PAS Johor itu.

"Sama ada saya menerima atau menolak untuk bertanding jawatan naib presiden tunggulah pengumuman daripada jawatankuasa pemilihan parti nanti."

Selain Salahuddin, sembilan lagi dicalonkan bertanding jawatan naib presiden. Ini termasuk dua penyandangnya, Husam dan Datuk Mahfuz Omar.

Turut dicalonkan Tuan Ibrahim, Mohd Amar, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan serta tiga anggota jawatankuasa pusat popular Abu Bakar Chik, Idris Ahmad dan Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Jawatankuasa pemilihan PAS menetapkan tarikh turut penerimaan pencalonan sehingga Jumaat ini.