VIDEO l 2:26 minit

Dua ahli parlimen Pakatan hari ini menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menepati janjinya untuk menyalurkan peruntukan RM2.5 juta untuk membina sebuah sekolah jenis kebangsaan tamil di Gunung Rapat, Perak.

MP Batu Gajah, V Sivakumar dan MP Gopeng, Dr Lee Boon Chye mendakwa janji itu dibuat Muhyiddin yang juga menteri pendidikan sewaktu semasa satu perjumpaan dengan orang ramai di Ipoh, tiga tahun lalu.

Mereka mendakwa peruntukan tersebut dijanjikan selepas sekolah itu berjaya memperolehi sekeping tanah seluas 2.4 ekar untuk membina bangunan baru.

Bagaimanapun, mereka mendakwa peruntukan itu sehingga kini masih belum disalurkan dan ia memaksa wakil sekolah itu untuk hadir ke Parlimen menyerahkan satu memorandum berhubung janji itu kepada Muhyiddin selaku menteri pendidikan.

Bercakap lanjut, Lee berkata sekolah itu buat masa ini hanya dilengkapi dengan enam buah bilik darjah dan tanah seluas 0.4 ekar.

Menurutnya lagi, sekolah itu akan mampu menambah bilangan pelajarnya daripada 170 orang kepada 500 orang apabila bangunan baru itu dibina nanti.

Menurut Sivakumar pula, sekolah itu yang dikenali sebagai SJK (T) Gunung Rapat adalah satu-satunya sekolah Tamil dalam daerah Gunung Rapat.

Justeru katanya, lebih ramai pelajar dijangka mendaftar di sekolah itu seandainya bangunan baru dibina kelak.

Menurutnya, pentadbir sekolah kini sedang berusaha mendapatkan dana untuk membina bangunan empat tingkat dengan semua kemudahan seperti padang sekolah.

Buat masa sekarang, sekolah itu mengadakan perhimpunannya di kawasan tempat letak kereta dan tiada padang sekolah, kata mereka.