'IPP nikmati subsidi bahan api konsep salah'
Anggapan bahawa pembekal tenaga bebas (IPP) memperolehi subsidi bahan api adalah konsep yang salah, kata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Pengarah Kanan, Suruhanjaya Teknologi, Ir Azhar Omar berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanggung kos bahan api untuk menjana elektrik yang dibekalkan IPP.
Menurutnya lagi, subsidi ke atas bahan api tersebut untuk memastikan pengguna selama ini dikenakan tarif elektrik yang rendah.
"Isu yang selama ini dibangkitkan orang ramai adalah tentang subsidi. Saya rasa ini adalah satu kesalahan konsep oleh orang ramai kerana secara asasnya IPP tidak menikmati sebarang subsidi.
"Apa yang mereka lakukan, semua loji tenaga menjadi penukar bahan api sahaja - mereka menukar bahan api kepada tenaga. Apa-apa saja kos bahan api dipindah kepada TNB.
"Jadi secara asasnya semua bahan api dipindah kepada TNB dan akhirnya TNB akan memindahkannya kepada pengguna.
"Jadi sebarang subsidi yang ditambah kerajaan kepada bahan api adalah untuk memastikan apa-apa tarif yang dicaj kepada pengguna, cukup rendah.
"Secara asasnya, subsidi itu akan dinikmati pengguna, dan bukannya IPP," kata pada majlis taklimat kementerian di bangunan Parlimen petang tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Programme Office for Power Electricity Reform (MyPower), Datuk Abdul Razak Abdul Majid yang turut hadir pada sesi taklimat itu menjelaskan kerajaan akan dapat menjimatkan RM4 bilion daripada kenaikan tarif itu yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2014.
Bagaimanapun, kerajaan masih membelanjakan lebih daripada RM14 bilion untuk subsidi tenaga, katanya.
MyPower adalah agensi reformasi tenaga elektrik yang juga terletak di bawah Kettha.
Mengulas perkara sama, Ketua Setiausaha (Kettha), Datuk Loo Took Gee yang mempengerusikan majlis taklimat itu percaya, penjimatan itu akan disalurkan kembali kepada rakyat.
"Dengan ekstra 4 bilion ini kita boleh salurkan untuk tujuan lain kepada rakyat," katanya.

