Info gangguan air sejuta orang di KL mengelirukan
Notis gangguan bekalan air yang melibatkan kira-kira sejuta pengguna sekitar Lembah Klang menimbulkan kekeliruan apabila terdapat perbezaan kenyataan yang memetik Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).
Sebelum ini, Bernama melaporkan gangguan akan berlaku dari jam 8 pagi sehingga 9 malam setiap hari bermula hari ini sehingga 22 Disember bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaiki dan menaik taraf loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 2.
Bagaimanapun, juga memetik SYABAS. laporan Kosmo! hari ini melaporkan gangguan tersebut akan bermula pada jam 9 malam ini dan dijangka berlarutan sehingga jam 8 pagi 22 Disember.
Ketika tinjauan Malaysiakini di Pantai Dalam, dekat ibu negara, antara kawasan yang bakal terjejas, pelbagai pihak nampaknya mempunyai pemahaman tersendiri berhubung masalah itu.
Seorang penduduk di Kondo Rakyat Pantai Dalam, Hasmah Daud, 68, misalnya menunjukkan keratan akhbar
Kosmo!
itu kepada
Malaysiakini.
Menurutnya, beliau hanya menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk catuan air harian dari jam 8 pagi sehingga 9 malam.
Bagaimana pun, rumahnya masih lagi mempunyai bekalan air setakat jam 11 pagi tadi.
"Kalau dia buat berperingkat macam ini OK. Kalau dia sekali potong (selama enam hari), tak bolehlah," katanya.
Malaysiakini menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) SYABAS tetapi penjelasan seorang kakitangan berhubung perkara itu tambah mengusutkan.
Operator talian memaklumkan, tempoh 8 pagi sehingga 9 malam itu adalah tempoh SYABAS membaik pulih loji rawatan air dan gangguan bekalan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondo Rakyat yang ditemui Malaysiakini pula kemudiannya memaklumkan yang air dari SYABAS masih lagi disalurkan ke bangunan itu.
Penyelia Kanan JMB, Bakharah Jani juga memberikan versi berbeza tentang gangguan itu.
Menurutnya, gangguan bekalan air sepatutnya bermula jam 8 pagi tadi sehingga jam 9 malam ini dan sekiranya ia tidak pulih pada jam 9 malam ini, gangguan itu akan berterusan sehingga jam 9 pagi 22 Disember.
"Itu sajalah yang kita dapat tahu," katanya sambil menambah yang pihaknya akan menanti bekalan air dari lori pihak berkuasa tempatan sekiranya perkara itu berlaku.
Tinjauan Malaysiakini di Flat PKNS Kampung Kerinchi pada jam 1 petang ini mendapati bekalan air masih belum terjejas.
Umar Abdul Ghani, seorang tukang masak berusia lingkungan 60 tahun berkata beliau dan isteri serta anaknya sudah bersedia menghadapi gangguan itu.
Katanya, kawasan perumahan berkenaan sememanganya disenaraikan sebagai salah satu daripada kawasan yang akan mengalami gangguan.
Bagaimanapun, mereka hanya boleh bersedia untuk catuan air harian kerana mustahil untuk menyimpan air selama enam hari.
Menurutnya, beliau hanya mengetahui bahawa gangguan bekalan air akan berlaku bermula hari ini sehingga 22 Disember.
"Dari segi haribulan ada, masanya tak pula diberitahu," katanya.

