Satu tinjauan baru oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (Umcedel) mendapati sebahagian besar responden Melayu mahu kalimah 'Allah' digunakan oleh orang Islam sahaja.

77 peratus daripada 1676 responden kajian itu berkata kalimah itu tidak boleh digunakan oleh penganut selain daripada agama Islam.

"Apa signifikannya dapatan ini? Apabila ahli politik memasuki daerah kalimah Allah ini, mereka perlu lebih sensitif," kata Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sewaktu membentangkan kajian itu pagi ini.

NONE Kajian yang dinamakan Kajian Politik Enam Bulan Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 itu melibatkan 1,676 responden di semenanjung Malaysia dalam tempoh 6 hingga 8 Disember baru-baru ini.

Responden berkenaan turut memberi jawapan sama serupa apabila ditanya sekira kalimah Allah itu boleh digunakan oleh penganut bukan beragama Islam di Sabah dan Sarawak.

77 peratus responden Melayu tidak bersetuju manakala hanya 11 peratus sahaja bersetuju dengan perkara itu.

Hanya 43 peratus dari keseluruhan responden dan pelbagai kaum bersetuju dengan perkara itu. Sebanyak 21 peratus lagi tidak bersetuju sementara 34 peratus lagi tidak pasti jika golongan tersebut boleh menggunakan kalimah 'Allah'.

Kajian yang sama turut meneliti aspek media penyiaran yang menjadi sumber bagi responden mendapatkan maklumat politik.

Sebanyak 72 peratus daripada responden memilih media arus perdana seperti TV1, TV2, TV3, NTV7, TV9 dan saluran Al-Hijrah sebagai sumber maklumat mereka.

Ia turut mendapati bahawa 62 peratus dari responden yang memilih maklumat politik secara dalam talian menumpukan medium Facebook, Instagram dan Twitter.

Hanya 27 peratus dari kalangan responden yang memilih maklumat dalam talian menjadikan blog serta portal berita seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider sebagai sumber.