Anwar: Lee tonjol derita rakyat, bukan hina Najib
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan flashmob kangkung anjuran ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon yang menurutnya tidak berniat menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan Lee bahawa flashmob itu bertujuan menonjolkan penderitaan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup.
"YB Khai Loon buat kenyataan (bahawa) dia menafikan dia menghina dan jelaskan dia tak bermaksud hendak menghina Datuk Seri Najib.
"Dia hendak sampaikan mesej tentang penderitaan rakyat," kata Anwar pada sidang media petang ini.
Anwar mengulas flashmob wakil rakyat muda PKR itu yang menyaksikan sayur kangkung disumbat ke dalam mulut satu replika yang menyerupai wajah Najib di Pulau Pinang baru-baru ini.
Sementara itu, MP Gelang Patah Lim Kit Siang yang sebelum ini meminta Lee mempertimbang untuk meminta maaf bagi mengelak putar belit dan kebencian kaum, memuji wakil rakyat PKR itu petang ini.
"(Lee) Khai Loon perlu dipuji kerana memimpin dalam menzahirkan keresahan orang ramai berkenaan kenaikan harga barang," katanya sambil tetap mengingatkan bahawa ada adab yang perlu dihormati dalam perkara demikian.
"Ada beberapa batasan yang tidak boleh dilangkah, dan perlu ada sikap hormat yang memadai," katanya pada sidang media bersama pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat itu.
Sementara itu, Anwar mengulangi gesaannya agar Pakatan Rakyat dan BN duduk semeja berbincang untuk menghapuskan sebarang bibit ketegangan kaum akibat interpretasi yang salah kepada penzahiran ketidakpuasan hati rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup.
"Keprihatinan kita tentang semaraknya usaha kelompok melampau yang membangkitkan sengketa perusuhan perkauman seperti yang ketara dalam bantahan tunjuk rasa di Pulau Pinang baru-baru ini memberi amaran tentang 13 Mei dan sebagainya.
"Kita ingin jelaskan isu ekonomi - kenaikan barang termasuk isu kangkung tak harus dikaitkan dengan 13 Mei.
"Pimpinan Pakatan Rakyat mengulangi agar satu perbincangan segera diadakan dengan BN untuk mengatasi bukan sahaja masalah ekonomi tetapi kalau ada ketegangan kaum dileraikan dengan baik untuk selamatkan rakyat di peringkat bawah sebab selalu kalau ada pergaduhan," katanya.

