Kesemua 89 MP Pakatan boikot sidang Parlimen
Kesemua 89 anggota Parlimen Pakatan Rakyat hari ini memboikot sidang Parlimen dengan tidak muncul pada hari pertama sidang Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sewaktu bangun menjawab soalan berkenaan peruntukan bantuan banjir, secara bersahaja menyeru agar kerusi-kerusi kosong MP Pakatan Rakyat diisi oleh BN selepas pilihan raya umum ke-14.
"Marilah kita berdoa agar kerusi-kerusi yang kosong ini diisi oleh BN dalam pilihan raya akan datang," kata Shahidan mengundang ketawa kecil dari rakan-rakan sekerjanya dari BN.
Pada masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini muncul untuk memberi jawapan lisan kepada soalan-soalan bertulis yang pada kebiasaannya dijawab timbalan-timbalan menteri kewangan atau menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi pihaknya.
Beliau kelihatan tenang menjawab soalan-soalan berkenaan langkah kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup, walaupun kebiasaannya beliau akan hadir di Parlimen untuk tujuan seperti membentangkan belanjawan negara.
Shahrir: Tak hormat pemisahan kuasa
Sebaik sahaja sesi soal jawab ditangguhkan, MP BN menghabiskan kira-kira sejam membincangkan ketiadaan MP Pakatan di Parlimen.
MP Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad ( kiri ) melihat protes Pakatan kepada keputusan mahkamah ke atas kes Liwat II itu tidak menghormati prinsip pemisahan kuasa yang didokong oleh mereka.
Menurutnya, Pakatan Rakyat perlu berterus-terang sahaja yang MP mereka mahu hadir ke acara penamaan calon di Kajang pada hari pertama Parlimen bersidang.
"Apabila dikatakan kita (Pakatan) akan boikot persidangan hari Selasa kerana keputusan mahkamah, bukankah itu juga akan timbul satu keadaan, kenapa libatkan Parlimen dengan keputusan mahkamah?" tanya Shahrir.
Beliau berkata demikian sewaktu memulakan usul membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.
MP Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah sewaktu mencelah ucapan Shahrir menyifatkan tindakan boikot itu seperti kebudak-budakan.
"Saya melihat ini tindakan kebudak-budakan macam budak yang merajuk tak nak pergi makan," katanya.

