Menteri akui kerajaan 'ghairah' laksana PBS
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui bahawa kerajaan mungkin terlalu 'ghairah' dalam melaksanakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibantah guru-guru.
"Masalahnya adalah dengan pelaksanaan.
"Kerajaan dan kementerian beralih kepada PBS kerana ramai yang merungut sistem kita terlalu berorientasikan peperiksaan.
"Itu adalah asasnya... tetapi saya akui dalam kita melaksanakannya, kita mungkin, dengan izin Tuan yang Dipertua, menjadi terlalu overzealous (ghairah)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu bercakap selepas menjawab soalan lisan MP Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali yang mahu tahu pelaksanaan dan rintangan yang dihadapi kerajaan dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Sementara itu, aktivis pendidikan Mohd Nor Izzat bin Mohd Johari bersyukur kerana Idris telah mengakui kesilapan bahawa kerajaan terlalu 'ghairah' mahu laksanakan PBS.
"Saya sangat bersyukur kerana menteri sedar akan kesilapan yang dilakukan.
"Harapan saya agar PBS bentuk baru yang bakal dilaksanakan pada April ini ditangguhkan bagi melaksanakan kajian rintis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nor Izzat berharap PBS bentuk baru itu menjalani kajian rintis "setidak-tidaknya tiga tahun rintis".
"Tujuan diadakan kajian rintis ini supaya tidak berlaku kesilapan kali kedua dalam melaksanakan sesebuah dasar baru," katanya.
"Ketika ini, lebih 450,000 murid tingkatan 3 masih dalam keadaan 'terawang-awangan' dek menanti PBS bentuk baru yang masih tidak tahu hala tujunya," tegas Mohd Nor Izzat.

