MP gesa Langat 2 terus dibina
MP Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani menggesa agar empangan Langat 2 yang dipersetujui oleh kerajaan Selangor dalam MOU penstrukturan air baru-baru ini terus dibina walaupun syarikat konsesi air menolak tawaran pengambil alihan syarikat mereka.
Menurutnya, pembinaan empangan itu yang akan memakan masa 36 bulan akan mampu mengurangkan masalah paras air yang kritikal di empangan sedia ada.
"Kalau kita hendak tunggu sampai syarikat-syarikat ini setuju baru kita nak bina Langat 2, sampai bilakah kita nak selesaikan masalah air kita?
"Kerajaan negeri Selangor sepatutnya uruskan masalah ini sejak 2009 lagi.
"Waktu itu rizab air kita tak kritikal seperti sekarang.
"Sekarang bila air dah kritikal, baru nak bincang, baru nak sain MOU," katanya sewaktu perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat tengah hari ini.
Kenyataan Johari bagaimanapun dibantah MP Shah Alam, Khalid Samad yang mendakwa Johari cuba mengelirukan dewan kerana perbincangan tentang pengambilalihan air dari syarikat konsesi berlangsung sejak 2009 lagi.
Khalid mahu Johari dikenakan tindakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) namun ia ditolak oleh Timbalan Speaker, Datuk Ismail Mohamed Said.
"Keputusan saya apa yang kita bincangkan tak sampai untuk merujuk Titiwangsa (Johari) kepada 36(12)," kata Ismail.
Bercakap lanjut, Johari turut mempertahankan tindakan kerajaan yang masih belum mengambil alih syarikat konsesi air secara mandatori seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).
Menurutnya, tindakan demikian akan menakutkan pelabur luar negeri kerana ia mewujudkan persepsi bahawa kerajaan boleh bertindak sesuka hati terhadap entiti perniagaan.

