MP: K'jaan perlu kutuk hukuman pada Ikhwanul
MP Pakatan Rakyat menggesa Wisma Putra dan Putrajaya mengutuk hukuman mati besar-besaran ke atas 529 anggota Ikhwanul Muslimin yang dijatuhkan pihak kehakiman Mesir.
Gesaan itu dibuat anggota MP Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar selepas usul beliau di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk membincangkan isu itu ditolak Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.
Kamaruddin dalam suratnya kepada Pandikar bertarikh 25 Mac menyifatkan hukuman itu sebagai "satu titik hitam dalam sejarah dunia moden" dan "satu langkah mundur ke belakang yang diambil oleh kerajaan junta Mesir".
"Kita telah menyuarakan sikap dan pendirian kita tetapi kita kesal Wisma Putra tak berani keluar apa-apa kenyataan tentang perkara yang berlaku," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, tengah hari ini.
MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata kerajaan Malaysia tidak perlu risau dilihat campur tangan dalam urusan dalaman Mesir sekiranya mereka menyatakan bantahan atau protes terhadap hukuman tersebut.
"Kita bukan campur tangan tetapi ambil tindakan yang wajar terhadap tindakan kerajaan Mesir," katanya.
Sementara itu, MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin menegaskan yang perbahasan tentang hukuman tersebut perlu dibantah semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Ini sikap yang salah, kita perlu bediri bersama atas rasa kemanusiaan untuk kutuk sesuatu yang zalim dan tidak adil.
"Saya khuatir kalau kita bersikap tidak peduli, satu hari nanti kezaliman akan belaku di Malaysia dengan lebih teruk lagi," kata Sim.
Pandikar dalam surat balasannya bertarikh hari ini menyatakan usul itu ditolak atas prinsip hubungan dua hala yang menghormati proses perundangan dan kehakiman negara lain.
Menurutnya lagi, ia perlu "ditangani secara bijaksana demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir".

