Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mengambil tindakan ke atas pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung kapal pengkajian berharga RM14.39 juta yang kekal tidak selamat dan tidak boleh digunakan, seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan berkata pihaknya mendapati terdapat banyak syarat tidak dipatuhi sewaktu proses pembelian kapal itu dilakukan.

"Kami ingin beri teguran kepada pegawai UMT di atas kecuaian yang telah berlaku dalam pemerolehan kapal RV Discovery berharga RM11.99 juta tetapi dari segi pematuhan syarat kontrak memang ada kegagalan.

"Tindakan perlu diambil ke atas pengurusan UMT," kata Nur Jazlan selepas mempengerusikan mesyuarat PAC petang ini.

Beliau sebelum itu bersama anggota PAC lain mendengar penjelasan selama kira-kira satu jam 30 minit dari Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha 1 Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha 2 Kementerian Pendidikan, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang, dan Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shaheen Mirza Habib.

RV Discovery diserah kepada UMT daripada Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2008 dengan harga RM11.99 juta.

Bagaimanapun, dua pengubahsuaian pada kapal itu melonjakkan harganya menjadi RM14.39 juta.

Namun, ia hanya diluluskan untuk belayar oleh Jabatan Marin setahun kemudian kerana cacat dan cela pada kapal itu yang menyebabkannya gagal memenuhi piawaian Jabatan Marin.

Ketua Audit Negara mencadangkan agar UMT mengambil tindakan ke atas kontraktor kapal itu untuk menuntut gantirugi jika Jabatan Marin mengesahkan ia tidak dapat beroperasi seperti tujuan asalnya.