Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mencadangkan agar hukuman hudud dikenakan ke atas bukan Muslim dengan menyelaraskan undang-undang sivil dan syariah.

Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata cadangan tersebut adalah demi memastikan keselamatan nasional terpelihara.

"Saya setuju (dilaksanakan ke atas bukan Muslim).

"Dalam hukum-hukum melibatkan kepentingan awam, maka ia hendaklah dilaksanakan kepada semua.

"Dalam hudud kita tengok dua aspek, iaitu kifarah atau pengampunan dosa bagi orang Islam.

"Bagi bukan Islam pula, ia dilihat dari segi aspek keselamatan nasional," katanya dalam sidang media di pejabat ISMA pagi ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada beliau bersetuju undang-undang hudud dilaksanakan ke atas orang bukan Islam.

Cadangan tersebut selari dengan kenyataan yang dibuat bekas mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainal Abidin yang mencadangkan agar hukuman kepada orang Islam mengikut hukum hudud diseragamkan dengan hukuman untuk orang bukan Islam bagi kesalahan melibatkan keselamatan awam.

Bercakap lanjut, Abdullah Zaik turut menolak sebarang ulasan yang dikeluarkan individu bukan Islam terhadap perbincangan hukum hudud yang hangat berlangsung sekarang.

"Bagi kami, campurtangan orang bukan Islam dalam hudud merupakan campurtangan ke dalam Islam.

"Dia tidak ada hak (buat begitu).

"Kita menghormati hak dia untuk jadi kaya tapi (apabila) kita nak laksanakan hak agama kita, tak boleh.

"Apa hak dia untuk menghalang hak orang Islam? Dia perlu menghormati hak orang lain," katanya.

Mengenai kenyataan MCA untuk membariskan 100 peguam untuk menghalang pelaksanaan hudud, Abdullah Zaik hanya dilihat sebagai satu percubaan untuk 'menguji pasaran'.

"Saya tak pandang besar pandangan MCA kerana pada pandangan saya MCA hanya mencuba nasib, bagi saya MCA cuma test market," katanya.

ADS