MP Kulai, Teo Nie Ching berkata Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah menolak soalan beliau yang meminta perdana menteri menjelaskan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Katanya, satu surat daripada Roosme memberi alasan bahawa soalan itu ditolak kerana didakwa mempunyai "sangkaan jahat" ke atas perdana menteri.

Menurutnya, beliau dalam soalan asalnya meminta Datuk Seri Najib Razak menyatakan sekiranya perdana menteri itu sudah lupa pada janji yang dibuat pada Julai 2012 untuk memansuhkan akta tersebut.

Soalan itu bagaimanapun ditolak oleh Roosme yang memberikan alasan sedemikian, mengikut Peraturan Mesyuarat 23(1)(c).

"Sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir, atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh," surat itu dipetik.

Najib pada 11 Julai 2012 mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948, namun sehingga kini ia masih kekal dikuatkuasakan.

[Berita penuh menyusul]