Umno: Biar p'raya jadi langkah terakhir
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berharap pilihan raya negeri Selangor menjadi penyelesaian terakhir kepada krisis jawatan menteri besar Selangor.
Menurut Ahmad, pilihan raya itu akan terus menyumbang kepada ketakstabilan politik yang sudah berlarutan di negeri itu buat beberapa ketika.
"Itu pilihan terakhir agaknya. Tentu ia ganggu kestabilan politik rakyat," kata Ahmad pada sidang media di Kelana Jaya, pagi ini.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan tentang kemungkinan berlakunya pilihan raya di negeri itu bagi sebagai jalan keluar kepada krisis sekarang ini.
Namun tegasnya, Umno dan BN tetap bersedia untuk menawan Selangor.
"Kalau selesai cepat bagus, tapi kalau tak selesai sampai perlu ada pilihan raya kecil negeri, kita sentiasa positif dan bersedia untuk menawan (Selangor)," katanya.
MP Pontian itu berkata, beliau juga bimbang sekiranya kemelut politik tersebut akan menjejaskan tahap ekonomi Selangor, yang berperanan besar dalam membentuk kestabilan ekonomi negara.
"Kami tak gembira atas perkara yang berlaku kerana perkara yang mendatangkan imej tak baik sedikit sebanyak memberi kesan pada negara kerana ekonomi negeri yang penting kepada ekonomi negara.
"Ia boleh menyebabkan pelabur lari dan ia mendatangkan kesan kepada (kerajaan) pusat.
"Hal politik yang tak stabil ini akan ganggu kelancaran ekonomi dan negara," katanya yang juga timbalan menteri kewangan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemprosesan cukai barangan dan perkhidmatan di pejabat Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan, di Kelana Jaya.

