Mahkamah tolak salinan video tanpa rakaman asal
Mahkamah tentera udara menolak satu salinan rakaman video yang cuba diserah sebagai bukti utama oleh pihak pendakwa dalam perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad yang dituduh memberi keterangan kepada media berhubung isu dakwat kekal dalam pilihan raya umum yang lalu.
Ia ditolak selepas peguambela, Hanipa Maidin membantah rakaman tersebut yang menurutnya adalah bukti sekunder yang tidak dapat dibanding dengan rakaman asal yang telah dipadam.
Pihak pendakwa cuba menyerahkan rakaman itu sebagai bukti utama menerusi saksi keempat perbicaraan, Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob yang bertindak sebagai yang dipertua lembaga siasatan kes itu.
"Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah menerima bantahan pihak pembela dan menolak bukti yang dikemukakan," kata Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak sebagai yang dipertua mahkamah yang bersidang mendengar kes tersebut.
Perbicaraan hari ini bersambung semula selepas ia ditangguhkan pada 12 Jun lalu.
Dalam perbicaraan ini, Mejar Zaidi Ahmad, seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghadapi tujuh tuduhan di bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972.
Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.
Pendakwaan dilakukan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Mejar Ahmad Azam Soip, dan Kapten Ross Anuar Aripin.
Kes itu didengar di hadapan Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak sebagai yang dipertua mahkamah bersama lima ahli mahkamah terdiri daripada Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.
Zaidi pula diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Nasar Khan Mirbaz Khan dan Aminuddin Zulkipli.
Perbicaraan hari ini pada sebelah petangnya ditangguh oleh Kolonel Saadon kepada 26 Ogos 2014 jam 9 pagi.
Penangguhan dibuat bagi memberi pihak pendakwaan masa untuk "menyemak semula ketakpastian" dalam hujah mereka.
"Terdapat beberapa ketakpastian di pihak pendakwa hari ini.
"Mahkamah ditangguhkan bagi memberi peluang kepada pendakwa menyemak semula proses pendakwaan," kata Kolonel Saadon sewaktu menangguhkan sidang hari ini.

