PM seru badan perakaunan bantu laksana GST
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru Institut Akauntan Malaysia (MIA) supaya membantu kerajaan dalam pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Menurutnya, institut tersebut boleh membantu pelaksanaan cukai berkenaan daripada aspek komunikasi dan teknikal.
"Saya ingin menyeru MIA agar memainkan peranan mereka supaya GST boleh dilaksanakan dengan lancar.
"(Bantu dari) aspek komunikasi GST dan kedua, aspek teknikal dan substantif GST - kita mesti pastikan kedua-duanya betul," katanya yang juga menteri kewangan di ibu negara hari ini.
Berucap ketika menyampaikan ucapan perasmian Sidang Akauntan Antarabangsa MIA 2014, Najib turut menzahirkan harapan agar MIA membantu entiti perniagaan bersedia menghadapi GST.
Sebelum itu, Presiden MIA Johan Idris mengikrarkan kesediaan badan perakaunan itu dalam membantu pelaksanaan GST.
Jelasnya, sejak Januari 2013 lebih 11,500 orang menyertai lebih daripada 250 program pendidikan GST.
Selain itu jelasnya, MIA turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi melatih lebih 2,000 ahli MIA dalam menghadapi GST.
"Program kami akan diperhebatkan apabila pelaksaan GST semakin hampir.
"MIA akan memainkan peranannya bagi menyokong kerajaan dalam membantu syarikat agar bersedia menghadapi GST dan memastikan syarikat mematuhi peraturan GST," katanya.

