Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria berkata pemain badminton negara yang gagal ujian doping kedua kini dikenakan tindakan penggantungan sehingga tamat proses rayuan.

Katanya perkara itu dimaklumkan oleh Persekutuan Badminton Dunia, dalam satu surat kepada BAM bertarikh 7 November.

"Kami juga diberitahu yang pemain ini digantung sementara," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur petang ini.

Norza juga mengesahkan bahawa ujian ke atas sampel kedua itu menemui bahan dexamethasone.

Tegasnya, bahan tersebut bukan dari jenis yang meningkatkan prestasi.

Norza juga enggan menamakan atlet terbabit walau diasak berkali-kali dalam sidang media di ibu pejabat BAM di Bukit Kiara petang ini.

Katanya, atlet yang disifatkannya sebagai "berdedikasi dan luar biasa" itu berhak dirujuk kepada panel BWF terlebih dahulu.

"Kami dimaklumkan seterusnya oleh BWF bahawa perkara ini akan dirujuk kepada BWF Doping Hearing Panel mengikut proses yang ditetapkan oleh panel tersebut.

"Selepas tempoh tertentu panel tersebut akan menetapkan masa, tarikh dan tempat untuk pendengaran.

"Oleh yang demikian, kami tidak dibenarkan menyatakan nama pemain terbabit," kenyataannya dipetik.

Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Anti Doping BAM percaya pemain tersebut tidak pernah tergamak untuk "mengambil jalan mudah untuk berjaya".

Justeru pihak BAM dengan kerjasama menteri belia dan sukan melantik seorang peguam pakar dalam undang-undang sukan untuk mewakili pemain itu.

"Dalam mesyuarat majlis BAM yang lepas, pihak majlis sebulat suara bersetuju untuk menyediakan segala aspek yang diperlukan untuk membantu atlet terbabit.

"BAM akan bekerjasama dengan menteri belia dan sukan dalam menangani isu ini dan peguam dilantik adalah Mike Morgans dari Morgan Spotts Law LLP," katanya.

Beliau yakin peguam yang pakar dalam undang-undang sukan itu akan dapat membantu Malaysia menangani isu berkenaan.

Bagaimanapun, laporan media hari ini sudahpun menamakan atlet tersebut sebagai pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

Laporan The Star Online hari ini menyebut, ujian ke atas “Sampel B” itu dijalankan pada 5 November dan pembukaan materainya disaksikan sendiri oleh Lee.

Lee menjalani ujian rawak semasa kejohanan dunia di Copenhagen pada 30 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS