Pemuda Umno hari ini mencadangkan harga getah diberikan subsidi oleh kerajaan susulan pengapungan harga bahan api.

Cadangan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda Umno, Jamawi Jaafar sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden Umno pada perhimpunan agung Umno ke-65 hari ini.

Menurut Jamawi ( kanan ), ibunya sendiri merungut tentang harga getah yang tidak banyak berubah sejak tahun 80-an lagi.

Menurutnya, pada tahun 80-an, harga sekilogram getah cair adalah sekitar RM1.20 namun kini harganya hanya naik kepada RM1.60 sekilogram.

"Alangkah baiknya kaalu kita dapat mengadakan harga subsidi untuk getah agar anak-anak kampung mendapat pembelaan.

"Kita harapkan di perhimpunan ini nasib penoreh getah dan pengusaha getah dapat juga kita bela sama-sama," kata Jamawi yang berucap selaku wakil negeri Sabah.

Ketua Pemuda bahagian Tenom itu juga turut menyokong pengumuman presiden Umno yang menyatakan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan.

Jelas Jamawi, langkah itu dapat mengekang gerakan untuk membawa keluar Sabah dan Sarawak dari persekutuan Malaysia.

"Pemuda Umno Malaysia bersetuju dan menyokong penuh pembaikan Akta Hasutan agar Sabah dan Sarawak dapat kekal dalam negara Malaysia," katanya.

Perhimpunan agung Umno ke-65 berlangsung sehingga 29 November ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur