Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR mendakwa, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba mengelak daripada tanggungjawab untuk membenarkan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke persidangan Parlimen bulan depan.

Naib presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar berkata Zahid tidak sepatutnya menyebut bahawa tanggungjawab itu dipikul oleh peguam negara.

"Ini teramat salah dan satu cubaan untuk tidak memikul tanggungjawab jawatan beliau. Jabatan Penjara adalah di bawah KDN dan bukannya peguam negara.

"Hanya menteri dalam negeri dan kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa untuk membenarkan Anwar menghadiri sidang Parlimen.

"Beliau wajib bersetuju dengan perkara ini dan memberikan arahan yang sepatutnya kepada Jabatan Penjara," kata Nurul yang juga anak sulung Anwar dalam sidang medianya di Petaling Jaya.

Menurut MP Lembah Pantai itu, ketua pengarah Jabatan Penjara juga berkuasa untuk berbuat demikian mengikut Seksyen 31(1)a Akta Penjara 1995.

Sementara itu, peguam Anwar, N Surendran berkata pasukannya menulis surat kepada Zahid pada 25 Februari lalu untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ia bagi membolehkan Anwar keluar dari Penjara Sungai Buloh dan menghadiri persidangan Dewan bermula 9 Mac sehingga 9 April.

Zahid semalam berkata permohonan itu sepatutnya dimajukan kepada peguam negara.

Timbalannya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar terdahulu memaklumkan bahawa Anwar boleh membuat permohonan itu kepada Kementerian Dalam Negeri.

Lihat Komen
ADS