Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan jawatan presiden PAS bagi penggal 2015-2017.

Hadi memperolehi 928 undi untuk menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat 233 undi.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Beliau ditewaskan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat 881 undi.

Mohamad hanya mendapat mendapat 279 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi.

Sebaik sahaja nama Hadi diumumkan, kira-kira seratus penyokong, pemerhati dan perwakilan melaungkan takbir.

Sebanyak 1,162 kertas undi dikeluarkan dan bilangan kertas undi yang berada dalam peti undi sebanyak 1,161.

Sebanyak satu kertas undi tidak dikembalikan dan tiada undi rosak.

Keputusan itu menunjukkan kira-kira 70 peratus perwakilan mengundi mengekalkan Hadi sebagai presiden parti, dan memilih Tuan Ibrahim sebagai timbalan Hadi.

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden, tiga muka baru dipilih menggantikan penyandang sebelum ini.

Mereka ialah MP Bukit Gantang Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Abdullah dan Exco Selangor, Datuk Iskandar Samad.

Idris mendapat 896 undi, Nik Amar (710 undi), Iskandar (672 undi). Manakala tiga calon lagi Datuk Husam Musa mendapat (317 undi), Salahuddin Ayub (435 undi) dan Datuk Mahfuz Omar (378 undi).

Manakala 18 ahli jawatankuasa PAS yang dipilih ialah:

- Nasrudin Hasan 782

- Ridhuan Mohd Noor 782

 - Datuk Nasrudin Daud 777

- Solehin Mukhyi 763

- Datuk NIk Zawawi Salleh 749

- Datuk Khairuddin Aman Razali 736

- Datuk Fadhli Hasan 722

- Datuk Abdullah Husin 679

- Razman Zakaria 674

- Mohd Zuhdi Marzuki 670

- Mokhtar Senik 656

- Zaharuddin Mohamad 611

- Ali Akbar Gulasan596

- Mazlan Aliman 593

- Dr Rosni Adam 590

- Mohd Noor Mohamad 566

- Muhamad Sanusi Md Nor 556

- Nor Azli Musa 544

 
Sementara itu, kemenangan itu amat bermakna kerana ini kejayaan sulung Hadi di peti undi setelah mengambil alih kerusi itu daripada allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Dalam 13 tahun menjadi presiden, Hadi tidak pernah dicabar sehinggalah Ahmad, bekas naib presiden dan presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), tampil memecahkan tradisi itu tahun ini.

Hadi juga mungkin mencipta rekod sebagai presiden PAS paling lama dalam sejarahnya apabila dipilih berkhidmat untuk dua tahun lagi.

Sebelum ini, daripada lapan presiden PAS, belum ada yang berkhidmat melebihi 13 tahun.

Kemenangan Hadi itu dilihat bakal memberi kesan besar kepada hala tuju PAS ketika komitmen beliau kepada Pakatan Rakyat mula dipertikai.

DAP sendiri sebelum ini memutuskan hubungan dengan Hadi.

Antara isu yang sentiasa menjadi duri dalam daging hubungan parti Islam dan DAP, sebuah parti sekular, tentunya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

DAP sudah beberapa kali menyatakan kebimbangan riwayat Pakatan mungkin berakhir minggu ini, dipercayai merujuk kepada keputusan hari ini yang sudah dijangkakan olehpenganalisis lebih awal.

Lihat Komen
ADS