Syarikat Penerbangan Cathay Pacific yang berpangkalan di Hong Kong berkata kejadian air hujan masuk ke dalam pesawat melalui pintu kecemasan hanya berlaku sekali-sekala.

Dalam jawapan melalui emel kepada Dr Christopher Tien Yen Chee, bertarikh I Disember, Pengurus Besar Perhubungan Pelanggan Cathay Pacific, Robert Yih berkata kejadian seumpama itu boleh berlaku ketika hujan lebat semasa pesawat masih berada di landasan.

Tien menghantar salinan emel tersebut kepada malaysiakini . Tien telah menceritakan pengalamannya kepada pihak media selepas gagal mendapat penjelasan daripada syarikat pernerbangan itu, walaupun �banyak kali mencuba� berhubung kejadian itu berlaku pada 5 November lalu.

Dalam emelnya, Yih memberi jaminan bahawa lelehan air hujan ke dalam pesawat Boeing 777, yang singgah di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan dari Hong Kong ke Pulau Pinang, pada hari berkenaan, jarang berlaku.

�Kadangkala, ketika pesawat (berada atas landasan), penutup pintu mungkin tidak ketat sepenuhnya dan semasa hujan turun, air hujan akan meleleh masuk dari luar pesawat.

�Selalunya, pintu itu berupaya menahan kebocoran kecil tetapi bila hujan terlalu lebat, kebocoran dapat dilihat di dalam kabin, tetapi ia akan disalir keluar melalui laluan lantai seperti sepatutnya.

�Bila semua pintu kabin ditutup dan pesawat mengekal tekanan udara untuk penerbangan, penutup tekanan udara akan melekat ketat pada pintu,� kata Yih berhubung kebimbangan Tien mengenai tahap keselamatan pesawat tersebut untuk melakukan penerbangan.

Menurut Tien, air masuk melalui pintu kecemasan pesawat tersebut ketika hujan lebat.

Baiki perkhidmatan

Yih juga meminta maaf kepada Tien bagi pihak krew penerbangan - termasuk juruterbangnya - yang didakwa Tien menyindirnya dan gagal memberi jawapan sepatutnya kepadanya dan penumpang lain yang risau mengenai kejadian tersebut.

�Saya meminta maaf kerana ianya tidak dijelaskan kepada anda ketika itu, dan adalah mengecewa apabila kakitangan kami tidak melakukan secukupnya untuk memberi jaminan kepada anda supaya tidak risau mengenai kebocoran itu.

�Saya sudah menyampaikan rasa tidak puashati anda berhubung tingkahlaku kakitangan kami kepada pihak pengurusan. Mereka akan berhubung dengan individu-individu terbabit,� katanya.

Yih juga meminta maaf kerana lewat menjawab aduan Tien dan berjanji akan meningkatkan mutu khidmat pelanggan syarikatnya.

Tien hanya mendapat emel jawaban itu selepas beliau menghantar aduan yang sama kepada ruangan maklumbalas lamanweb lain syarikat tersebut, iaitu Swire Pacific Limited dan portal Haeco Group.

Sebelum ini, beliau telah menghantar aduan itu melalui emel ke ruangan maklumbalas syarikat penerbangan berkenaan serta menghantar faks kepada ibupejabatnya di Hong Kong. Bagaimanapun semuanya tidak mendapat sebarang jawapan.

�Selepas menunggu sekian lama untuk mendapatkan jawapan, saya memutuskan untuk menghantar emel terus kepada setiap pegawai pengurusan syarikat itu melalui lamanweb kumpulan syarikat tersebut,� kata Tien yang dihubungi hari ini.

Kumpulan Swire Group bersama Cathay Pacific Airways, adalah pemegang utama kepentingan dalam Haeco dan penyedia pengurusan sokongan.

Tien yang juga ahli Asia Mile Cathay Pacific berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan terus menaiki pesawat itu pada masa akan datang.