Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, sepatutnya sejak dari dulu lagi kerajaan menyekat portal berita The Malaysian Insider (TMI).

Ia kerana katanya, kebebasan rakyat dan media kini telah terlalu terbuka apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan oleh kerajaan.

“Saya rasa masa tak kena (untuk sekat TMI sekarang), masa bertindak telah lewat, kalau dari awal lagi disekat, ia tidak akan memburukkan keadaan macam sekarang.

“Lebih buruk apabila kerajaan hapuskan ISA dan janjikan kebebasan yang lebih besar dan mewujudkan harapan di kalangan rakyat dan media,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, FMT dan Berita Daily.

Minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat laman web portal TMI atas alasan melanggar undang-undang negara.

Menurut maklumat SKMM, laman itu disekat bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut maklumat SKMM, laman itu disekat bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didakwa melanggar peruntukan seksyen 233 akta yang sama tetapi tidak menyebut kesalahan secara khusus.

Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Zainuddin yang merupakan bekas pengarang utusan berkata, media seharusnya dikawal dan tidak diberikan kebebasan sepenuhnya.

“Media mesti terkawal tak patut bebas sepenuhnya. Bagi saya tidak ada sepenuh kebebasan di dunia ini,” katanya.

Sementara itu, Zainuddian juga ditanya mengenai titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa akhbar tersebut tidak bersifat perkauman tetapi sebaliknya mengamalkan semangat satu Malaysia.

Zainuddin yang bersetuju dengan perkara tersebut berkata sebelum ini akhbar itu mempertahankan kerajaan persekutuan, isu berkaitan kontrak sosial dan tidak menyiarkan berita yang sensitif.

“Kenyataan saya sama dengan sultan bahawa utusan bukan rasis, selama ini ia (Utusan) mempertahankan kerajaan persekutuan, kontrak sosial dan perkara-perkara sensitif yang tidak perlu dibincangkan,” katanya.

Malah katanya, ketika masih bersama Utusan, beliau memberikan ruang kepada pembangkang untuk menyiarkan kenyataan di akhbar tersebut supaya tidak dilihat terlalu berat sebelah.

Namun katanya, Utusan kini tidak memberikan ruang kepada pihak pembangkang untuk menyiarkan kenyataan mereka dan sekaligus dilihat berat sebelah.

Oleh itu, katanya, Utusan kini dilihat seperti rasis, sebab orang tak dapat gambaran kedua belah pihak.