Ketua pembangkang: ADUN Duyong masih DAP
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Khoo Poay Tiong hari ini menegaskan bahawa anggota DUN (ADUN) Duyong Goh Leong San masih wakil DAP.
Katanya, surat daripada Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng kepada Speaker DUN bertarikh 8 Mac lalu tidak menyebut langsung tentang kedudukan Goh.
Surat itu, kata Khoo, hanya menggariskan pelantikan beliau sendiri (Khoo) sebagai ketua pembangkang dan pelantikan ADUN Bandar Hilir Tey Kok Kiew sebagai ketua whip DAP.
“Ingin tegas di sini bahawa dalam surat tersebut tiada sebut langsung tentang kedudukan ADUN Duyung, Saudara Goh Leong San,” katanya.
Bernama hari ini melaporkan Goh kini menjadi ADUN Bebas selepas perkara itu dimaklumkan Speaker Datuk Othman Muhamad.
Pada perasmian sidang pertama penggal keempat DUN Melaka ke-13 hari ini, Othman dilaporkan sebagai berkata menerima surat daripada Lim berkaitan perkara itu.
Dilaporkan juga speaker sebagai memaklumkan jawatan ketua pembangkang yang sebelum ini disandang Goh kini diambil alih oleh Khoo.
Terdapat laporan berlaku perpecahan dalam kalangan anggota DAP Melaka, yang sebahagian menyokong Goh manakala sebahagian lagi menyokong Lim.
Goh sendiri tidak pasti sama ada dirinya masih lagi mewakili DAP atau pun bebas.
Dalam kenyataan hari ini, Khoo berkata Goh hanya digantung keanggotaan selama setahun dalam DAP dan bukan dipecat.
“Ertinya, beliau masih merupakan ADUN DAP,” kata Khoo, wakil Ayer Keroh.
Kekeliruan, salah faham
Sementara itu, selaku setiausaha DAP Melaka dan ketua pembangkang, Khoo berkata beliau telah menulis surat rasmi mencadangkan susunan tempat duduk Goh sebaris dengan wakil DAP lain.
“Maka dengan ini, Saudara Goh Leong San masih merupakan ahli dan ADUN DAP dan tertakluk kepada segala peruntukan Perlembagaan Parti seperti mana-mana ahli DAP yang lain.
“Dengan ini, diharap melalui kenyataan ini ia dapat menjelaskan segala kekeliruan atau salah faham yang tidak sepatutnya timbul,” katanya.
MP Kota Melaka tak pasti mewakili DAP atau Bebas?

