Paling Popular
Terkini

Selepas sekian banyak keraguan cuba ditimbulkan, pertukaran atau persaraan tiga pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lalu memberi banyak makna.

Selain ia mendandakan perubahan kepimpinan agensi antirasuah itu ia juga menandakan bahawa sesungguhnya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang terpelihara maruah dan kedaulatannya.

Namun apa yang lebih penting ialah, di sebalik pelbagai serangan luar dan dalam terhadap kerajaan Datuk Seri Najib Razak, tiada yang goyah sedikit pun.

Ketika pihak berkuasa AS bertindak menyita pelbagai aset dituduh mereka diperoleh menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan, terbukti syarikat milik penuh kerajaan itu kekal berdaya saing.

Dalam bahasa ringkas dan mudah, 1MDB tidak pernah bersalah.

Sebenarnya kita tidak perlukan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS untuk memberitahu bahawa 1MDB tidak bersalah. Ia sudah dibuktikan jauh lebih awal di dalam negara ini sendiri.

Sudah ada siasatan lengkap dibuat sebelum ini. Sudah ada dua pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan jahat ke atas 1MDB.

Belajar bahasa Arab

Pada Mac 2015 lalu parlimen diberitahu bahawa kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk meneliti hutang 1MDB.

Pihak CIMB pula dilantik sebagai pihak ketiga bagi membantu penilaian cadangan tawaran awam permulaan (IPO) syarikan pelaburan berkenaan.

Siapakah anggota panel pasukan petugas khas itu? Mereka ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Kedua-dua menteri itu kini tidak lagi berada dalam kabinet. Abdul Wahid dilaporkan mahu kembali ke dunia korporat (dan beliau sudah dilantik menjadi pengerusi Permodalan Nasional Berhad), manakala Ahmah Husni diumum meletak jawatan pada 27 Jun lalu.

Ahmad Husni bukan orang sembarangan. Menduduki jawatan menteri di kementerian kewangan tentu membolehkan beliau tahu banyak mengenai 1MDB.

Ahmad Husni menegaskan masalah aliran tunai jangka pendek dihadapi 1MDB akan diselesaikan menerusi beberapa pendekatan.

Beliau turut menafikan dakwaan wujud penipuan dalam urusniaga 1MDB. Justeru katanya pasukan petugas khas itu dan Ketua Audit Negara ditugaskan untuk menyiasat syarikat tersebut.

Tetapi tiba-tiba tanpa angin tanpa ribut tanpa kilat anggota parlimen Tambun itu diumum meletak jawatan.

Bukan saja jawatan menteri, malah kedudukan dalam parti.

Ketua Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim jelas terkejut dengan tindakan Ahmad Husni kerana pada beliau bekas menteri itu adalah orang "kuat bekerja dan tidak pernah kenal erti penat"

Kepada Sinar Harian, Ahmad Husni dilaporkan meletak jawatan kerana mahu mendalami ilmu agama di Jordan selama tiga bulan. Antara lain, lapor akhbar itu, Ahmad Husni mahu belajar bahasa Arab.

Bagi saya secara peribadi itu adalah antara bayangan bahawa beliau sudah melaksanakan tugasnya dengan betul dan 1MDB benar-benar bersih daripada sebarang salah laku.

Ribut cuma kecil

Selepas tiga bulan mungkin Ahmad Husni sudah menguasai bahasa Arab. Ia sebenarnya suatu aset kerana antara syarikat luar yang menjalankan urusan dengan 1MDB adalah syarikat Arab juga. Bolehlah mereka berhubung atau berkomunikasi dengan lancar dalam bahasa Arab.

Kemudian kita diberitahu ada pula pasukan petugas khas lain dianggotai agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Pejabat Peguam Negara dan SPRM.

Tokoh utama yang diketahui menganggotai pasukan petugas khas itu ialah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Untuk melengkapkan tugas mereka, pada 3 Julai 2015 pasukan itu menyelidik tiga syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun perdana menteri.

Syarikat itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Kata Abdul Gani kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang turut dianggotai oleh SPRM, PDRM dan BNM.

Memanglah ada ribut kecil pada pasukan itu suatu ketika dulu. Misalnya apabila polis menyerbu rumah pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan berkenaan, ada pegawai atasan agensi anti-rasuah itu ditukarkan serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri manakala Abdul Gani sendiri digantikan dengan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Memetik Ali Hamsa, Bernama melaporkan perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan atas sebab kesihatan.

Pada Ogos, ada khabar angin bertiup kononnya Zeti akan meninggalkan BNM "atas faktor kesihatan".

Memanglah kita bersimpati benar apabila ramai benar pegawai tinggi dan kanan negara ini mengalami masalah kesihatan dan menjadikan ia alasan untuk bersara awal.

Namun Zeti kemudian menafikannya. Kata beliau perkhidmatannya di BNM akan kekal sehingga tamat kontrak lima tahunnya.

Justeru beliau hanya meninggalkan BNM pada 30 April 2016 seperti kontrak yang mengikatnya.

Tetap beristiqamah

Nampaknya impian Zeti supaya siasatan ke atas 1MDB dapat diselesaikan sebelum beliau meninggalkan pejabatnya pada 30 April itu benar-benar berlaku.

Beliau memberikan jawapan berkenaan apabila ditanya wakil media mengenai isu siasatan terhadap 1MDB.

Zeti pada sidang akhbar itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai status siasatan BNM berhubung ketidakupayaan 1MDB membawa pulang ‘dana asing’.

Jumaat lalu pula tiga pegawai kanan SPRM meninggalkan agensi berkenaan. Selain Abu Kassim, mereka ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Mustafar Ali.

Abu Kassim dan Mohd Shukri sudah bersara manakala Mustafar dijadikan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketiga-tiga mereka agak menonjol juga ketika siasatan mengenai 1MDB dan syarikat berkaitannya dijalankan.

Ia sekadar mengukuhkan lagi dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa syarikat itu tidak melakukan sebarang salah laku.

PAC bukan calang-calang badan. Semua anggotanya penuh integriti dan bukan bekerja untuk mencari makan semata-mata.

Selepas ini kita berharap keyakinan rakyat kepada kerajaan dan 1MDB semakin diperkukuhkan. Pedulilah apa tindakan pihak berkuasa asing yang ingin menyita aset diluar negara.

Pedulikan juga siapa individu di sebalik Malaysian Official 1 yang disebut 36 kali dalam dokumen setebal 136 halaman DOJ itu.

Segalanya sudah terang lagi bersuluh. Dokumen DOJ itu tidak menyebut nama perdana menteri yang kita kasihi itu waima sekali pun. Ia juga tidak menyabitkan 1MDB dengan sebarang salah laku walaupun sekali.

Ia selaras dengan pengesahan daripada peguam negara bahawa Najib tidak bersalah dan mempengaruhi sebarang keputusan dibuat 1MDB.

Apandi juga menegaskan tiada bukti menunjukkan wang daripada 1MDB digelapkan.

Justeru pilihan kita hanya satu - tetap istiqamah meyakini kerajaan sedia ada untuk mentadbir urus Malaysia dengan penuh tanggungjawab dan bermaruah.

1MDB setakat ini nampaknya memang maksum.

Lihat Komen
ADS