Maria: Perhimpunan saja tak mungkin boleh jatuhkan k'jaan
WAWANCARA | Tidak ada perhimpunan hari ini yang akan berjaya "menumbangkan sebuah kerajaan" di Malaysia, kata Pengerusi BERSIH, Maria Chin.
Katanya, ia tidak seperti kejatuhan rejim diktator di negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Thailand berikutan kebangkitan rakyat secara besar-besaran itu.
"Saya pasti bahawa ia (perubahan kerajaan melalui protes) boleh berlaku di negara-negara lain ... tetapi di Malaysia sekarang, kita belum di peringkat itu lagi.
"Ia hanya akan berlaku apabila setiap orang merasakan komitmen yang sama (untuk perubahan), mereka mahu melihat matlamat akhir. Sekarang saya tidak merasainya di Malaysia ... " katanya, sambil menambah bahawa kebanyakan rakyat Malaysia masih memilih untuk membuat perubahan melalui peti undi walaupun peraturan pilihan raya tidak adil.
Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini di pejabat BERSIH 2 di Petaling Jaya, Maria berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekecewaan yang dirasai oleh sesetengah pihak tentang kekurangan impak daripada perhimpunan besar-besaran, termasuk BERSIH 4, tahun lepas.
"BERSIH 4, jika anda fikir untuk jatuhkan kerajaan, ia tidak berlaku. Ia bukan semudah itu: melalui satu demonstrasi, berada di jalanan, walaupun anda pergi ke sana selama dua hari, atau seminggu atau sebulan ..., " katanya.
Beliau menganggap kemiskinan sebagai faktor utama yang mencetuskan kebangkitan rakyat di rantau ini.
"Tidak seperti di Indonesia dan Filipina, saya rasa faktor lain ialah isu ekonomi. Apabila mereka merana, kebuluran, pendapatan mereka terjejas, maka lebih ramai akan tampil dan memprotes.
"Kami tentunya telah menyaksikannya dalam sejarah Malaysia, contohnya di Baling... Ia telah menghasilkan beberapa perubahan," katanya merujuk kepada protes 1974 di Baling, Kedah, yang menyaksikan ribuan petani miskin bangkit berdepan dengan pihak berkuasa tempatan.
Insiden itu membawa kebangkitan di seluruh negara yang akhirnya menyaksikan mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu seorang aktivis pelajar, ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini telah dimansuhkan.
Bagaimanapun, kata Maria, terdapat perubahan yang positif mengenai bagaimana protes dilihat di Malaysia sejak perhimpunan BERSIH pertama pada tahun 2007.
Di bawah pimpinan beliau, perhimpunan BERSIH 4 menyaksikan hampir 200,000 orang berhimpun di jalanan di Kuala Lumpur pada ambang malam sambutan Merdeka pada Ogos lepas.
Ia telah disebut sebagai salah satu protes terbesar seumpamanya di Malaysia dan pihak berkuasa dipuji kerana membantu memudahkan perhimpunan itu.
Ini berbeza dengan pendekatan yang keras yang diambil terhadap perhimpunan BERSIH sebelumnya.

