Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Syed Saddiq 'tergoda' tawaran RM50,000 Annuar
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 1:53 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tampil menyahut cabaran Umno untuk menulis esei berkaitan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tawaran RM50,000 oleh Tan Sri Annuar Musa menarik minatnya untuk menyertai pertandingan berkenaan.

Bagaimanapun bekas juara debat dunia itu berjanji wang berkenaan - jika dimenanginya - tidak akan digunakan bagi kepentingan sendiri atau parti.

Sebaliknya Syed Saddiq berjanji, RM50,000 itu akan disumbangkan kepada pasukan bola sepak Kelantan - The Red Warriors (TRW) - serta membantu pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) atau dijadikan biasiswa MARA.

"Saya ingin menyahut cabaran Tan Sri Annuar Musa untuk menulis esei berkenaan Lim Kit Siang. (Ganjaran) RM50k yang ditawarkan sangat menarik minat saya untuk turut serta dalam cabaran ini.

"Tinggi harapan saya untuk mendapatkan RM50,000 yang dijanjikan itu, malah saya juga berhasrat untuk menyumbang (wang berkenaan) kepada pasukan bola sepak Kelantan dan juga membantu para pelajar UniKL/biasiswa MARA," katanya di Facebook hari ini.

Pada 23 Mac lalu Annuar yang juga ketua penerangan Umno mengumumkan pihaknya bercadang mengadakan pertandingan menulis esei mengenai Lim.

Pertandingan itu, kata Annuar, terbuka kepada semua dan menyediakan habuan bernilai RM10,000.

"Saya bercadang nak buat pertandingan bagi sesiapa yang boleh buat penulisan sama ada dalam blog, atau Instagram, atau apa-apa bentuk artikel.

"(Ia) bertajuk Lim Kit Siang Dikatakan Rasis, Anti-Islam dan 51 tahun sebagai diktator, adakah benar?," katanya.

'Akui Annuar cekap'

Sehari kemudian, Annuar mengumumkan hadiah untul pertandingan itu dinaikkan menjadi RM50,000.

Kata anggotar parlimen Ketereh itu, tajuk pertandingan juga diubah sedikit dengan memasukkan sekali bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkritik utama kerajaan.

Annuar juga menambah empat kategori untuk pertandingan itu, iaitu tulisan di blog, artikel di media, video pendek dan infografik.

“Sila hantar (penyertaan) kepada Jabatan Ketua Penerangan Umno, PWTC, KL. Hadiah hadiah berjumlah RN50,000 menanti anda,” katanya.

Annuar sebelum ini turut menjadi perhatian selepas tugasnya sebagai pengerusi MARA digantung untuk membolehkan siasatan dalaman dijalankan.

Ia berkait dengan tajaan UniKL dan Permodalan Mara Bhd ke atas The Red Warriors Sdn Bhd yang mengendalikan skuad bola sepak Kelantan.

Annuar didakwa mempunyai kepentingan dengan syarikat berkenaan.

Kata Syed Saddiq secara sinis, dia tidak terkejut dengan kemampuan Annuar menawarkan hadiah RM50,000 untuk pertandingan menulis esei mengenai Lim berdasarkan "kecekapan" pemimpin Umno itu "mengurus pasukan TRW".

"Biasiswa MARA bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara dan yang diperuntukkan untuk membiaya pelajar UniKL yang diberhentikan membuktikan kecekapan beliau mengendalikan tugasnya.

"Mungkin ini adalah satu langkah ke hadapan bagi beliau untuk mencungkil bakat-bakat penulisan di kalangan rakyat Malaysia. Husnuzon, bersangkabaiklah," katanya.

Syed Saddiq meneruskan catatannya dengan menyenaraikan beberapa 'pengkhianatan' dilakukan oleh Lim.

Antara isu yang dibangkitkannya ialah dakwaan salah guna dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan penghasilan filem Wolf of Wall Street.

Lihat Komen
ADS