Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Universiti Selangor (Unisel) bukan saja menjejaskan institusi pengajian tinggi itu, malah penuntutnya.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Prof Dr Mohd Zaidi Mohd Hajazi berkata Unisel memang biasa menghadapi tekanan dari pihak luar sebelum ini.

Bagaimanapun katanya kali ini tekanan berkenaan dianggap berbeza kerana membabitkan pihak berkuasa di negara ini.

"Kali ini tekanannya berbeza, agak luar biasa sebab melibat pihak berkuasa dan membuatkan kami mendapat liputan pelbagai media," katanya semasa mengadakan sidang media di Shah Alam hari ini.

Unisel - dan empat premis lain - diserbu SPRM pada 22 Ogos lalu dipercayai ada kaitan dengan pembayaran dibuat kepada sebuah syarikat yang mendapat kontrak dengan institusi berkenaan.

Semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan empat individu berhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) kepada sebuah syarikat swasta.

Katanya SPRM menjalankan siasatan terhadap MBI berdasarkan aduan yang diterima.

Mohd Zaidi (gambar) berkata apa saja tekanan yang berlaku kepada universiti akan memberi kesan besar kepada penuntut, lebih-lebih lagi ketika mereka bakal menghadapi peperiksaan.

"Sebab itulah saya mengharapkan apa saja tindakan yang dibuat oleh pihak-pihak di luar sana, tolong fikirkan tentang masa depan penuntut," katanya.

Ketua Pemuda Umno Kelana Jaya, Maisham Maarof, melalui laporannya antara lain mendakwa penyelesaian pertikaian oleh MBI dan Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) membabitkan jumlah puluhan juta ringgit.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi yang juga Presiden Persatuan Akademik dan Profesional Unisel berkata tekanan itu ekoran tempias pihak luar kepada universiti terbabit.

Namun, diminta menjelaskan siapa pihak luar berkenaan Mohd Zaidi enggan mengulas lanjut.

"Isu dan cabaran itu kadang-kadang berkait rapat dengan Unisel, tetapi ada juga yang tidak berkait namun tempiasnya terkena juga pada Unisel," kata Mohd Zaidi.

Mohd Zaidi juga berharap pihak Pengurusan universiti itu tidak diganggu lagi dan diberi peluang untuk membangunkan universiti itu dengan cemerlang.

Terdahulu Mohd Zaidi bersama anggota Jawatankuasa Persatuan Akademik dan Profesional Unisel mengadakan sidang media bagi menunjukkan sokongan kepada Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman selaku Naib Canselor universiti itu.

Lihat Komen
ADS