Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau sendiri akan menolak jika dicalonkan semula parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau membalas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang parti itu tidak akan lagi mencalonkan Mahfuz yang dilihat lebih cenderung kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah juga menyuarakan perkara sama, iaitu mana-mana wakil rakyat parti itu yang dilihat menyokong HARAPAN tidak akan dicalonkan lagi, kerana menunjukkan penentangan terhadap parti secara terbuka.

"Terima kasih kerana tidak mencalonkan saya.

"Jika PAS calonkan pun, saya tak akan terima. Jika saya terus jadi calon PAS saya akan mengkhianati rakyat.

"Saya tolak (untuk) menjadi calon sekadar 40 kerusi parlimen. Ini akan menyebabkan BN terus memerintah," kata Mahfuz ketika ditemui pemberita di Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar, Kedah.

Beliau merujuk sasaran PAS untuk memenangi 40 daripada 222 kerusi parlimen pada PRU ke-14.

Dalam sidang media semalam, Muhammad Sanusi turut berkata anggota PAS tidak melihat pemimpin atas kapasiti individu, sebaliknya kepatuhan terhadap parti.

“Selepas dia (Mahfuz) isytihar secara zahir atau tidak tinggalkan PAS jadi kita ucap bye bye lah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Mahfuz akan menyertai parti serpihan PAS Parti Amanah Negara (AMANAH), beliau hanya berkata ia "persoalan yang tidak berbangkit" buat masa ini.

Mahfuz sebelum ini sering dilihat menyertai program HARAPAN dan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepimpinan PAS.

Malah, beliau menyifatkan HARAPAN lebih komited ke arah perubahan politik berbanding PAS dan Gagasan Sejahtera yang diketuai parti itu.

Lihat Komen
ADS