Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pastikan tiada lagi mayat tertimbus, kata ADUN Tanjung Bungah
Diterbitkan:  Oct 25, 2017 12:12 AM
Dikemaskini: 4:23 PM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu menggesa pemaju projek di tapak terjadinya tanah runtuh yang meragut 11 nyawa minggu lalu, memastikan yang memang tiada lagi mayat tertimbus di bawah runtuhan itu.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri agar mengarahkan pemaju membersihkan timbunan tanah runtuh yang masih ada di tapak pembinaan.

Katanya, gesaan itu ekoran beberapa jam selepas insiden 21 Oktober itu berlaku, beliau diberitahu mungkin seramai 20 orang disyaki tertimbus oleh tanah runtuh itu.

"Walaupun pemaju menghantar 14 nama (yang berada di tapak ketika kejadian) kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, kerajaan masih bertanggungjawab menamatkan segala keraguan dengan membuat pembersihan di tapak pembinaan.

"Ini bagi memastikan tiada mayat yang tidak dikira," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika kejadian, tiga pekerja berjaya menyelamatkan diri, manakala 11 lagi ditimbus runtuhan tanah dan terkorban.

Usaha mencari 11 mayat itu selesai dua hari kemudian.

Selain itu, Teh turut menggesa kerajaan dan pemaju dapat mencari penyelesaian berhubung pembeli unit rumah di projek itu yang kini dalam keadaan buntu.

"Mereka tidak pasti sama ada untuk terus membayar khidmat hutang mereka.

"Daripada menghabiskan tenaga untuk mengalih, menafi dan membela diri, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) patut meningkatkan usaha menghentikan semua pembangunan di lereng bukit.  

"Mereka juga perlu menimbang dengan serius suara mereka yang tidak setuju dengan pembangunan melampau di Pulau Pinang," katanya lagi.

Teh memang dikenali sebagai ADUN yang sering mengkritik kerajaan negeri, antaranya berhubung pembangunan di lereng bukit dan juga bangunan tinggi lama sebelum tanah runtuh itu berlaku.

Lihat Komen
ADS