Tiga mayat dijumpai terapung di Kudat
Tiga mayat, dua wanita dan seorang lelaki, dijumpai terapung di kawasan perairan Kampung Malawali, Kudat, pagi kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din dalam kenyataannya semalam berkata mayat lelaki yang cuma berseluar pendek dijumpai terapung kira-kira 80 meter dari pantai manakala dua mayat wanita itu pula kira-kira 50 meter dari pantai.
"Keadaan mayat sudah kembung dan kulit badan mudah tercabut. Tiada kesan-kesan luka atau kecederaan mana-mana bahagian badan mangsa.
Butir-butir mangsa yang dijumpai tidak dapat dikenal pasti memandangkan tiada apa-apa pengenalan diri semasa mayat dijumpai," katanya.
Katanya mangsa yang dijumpai penduduk kampung kira-kira jam 10.20 pagi itu disyaki mati lemas dan pihak polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Menurut Ramli semua mayat telah dihantar ke Hospital Kudat dan bedah siasat dijangka dijalankan esok di hospital sama.
Beliau berkata usaha untuk mengesan waris kesemua mangsa masih diteruskan.
Ramli meminta mana-mana individu atau anggota masyarakat yang kehilangan anggota keluarga agar berhubung dengan Ketua Balai Polis Kerakit, Kudat ASP Hasrul Iswandi di talian 017-2455520.
- Bernama

