Kerajaan tidak akan menutup Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini walaupun terdapat masalah kekurangan pelajar, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendirian kerajaan Persekutuan terbukti apabila membenarkan 454 SJKC yang mempunyai 150 murid atau kurang terus beroperasi.

"Kerajaan juga tidak tidak pernah mengetepikan 1,298 SJKC yang ada di seluruh negara.

"Di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan telah meluluskan pembinaan 10 SJKC baharu di negara ini yang akan dibina mulai tahun depan.

"Saya berjanji tiada SJKC akan ditutup. Ini akan memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa dan guru dan mereka boleh menumpukan perhatian bagi mencapai kejayaan yang lebih besar," katanya berucap merasmikan Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Anggota Parlimen Bagan Datuk dan Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk di SJKC Chong San di Rungkup semalam.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata kerajaan akan terus memberi bantuan, membayar gaji guru serta mengiktiraf Lembaga Pengelola Sekolah di setiap SJKC yang kekurangan murid.

“Apa yang penting ibu bapa pelajar-pelajar di SJKC perlu memberi perhatian dalam memastikan pencapaian cemerlang anak-anak mereka,” katanya.

Menjelas lanjut dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak pernah membezakan soal perantaraan dan akan terus membantu sekolah yang mengajar bahasa ibunda masing-masing.

“Ini secara langsung menolak tohmahan dan fitnah yang mengatakan kerajaan akan menutup sekolah berkenaan, begitu juga SJK Tamil.

“Harus difahami, soal pendidikan dan keharmonian pelbagai kaum harus dihormati (dan) tentunya dalam soal ini, dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri harus diambil kira sebagai komitmen yang kukuh,” katanya.

- Bernama