Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jumlah penduduk terjejas banjir di dua daerah di Pahang meningkat kepada 1,331 orang daripada 375 keluarga yang ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 677 orang daripada 195 buah keluarga tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusof berkata, di Kuantan seramai 802 orang daripada 231 keluarga dipindahkan di sembilan PPS manakala di Rompin sebanyak enam PPS dibuka menempatkan 529 orang daripada 144 keluarga.

"PPS paling ramai yang menempatkan penduduk terjejas banjir di daerah ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abdul Samad seramai 241 orang daripada 61 keluarga diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)Gudang Rasau 163 orang (40 keluarga).

"Di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai pula ialah 156 orang (66 keluarga), SMK Pandan 97 orang (28 keluarga), SK Kampung Padang 63 orang (20 keluarga), Dewan Jabatan Perparitan dan Saliran 30 orang ( lima keluarga).

"Balai Raya Kampung Paya Bungor menempatkan 24 orang (lima keluarga), Balai Raya Kampung Pahang 24 orang (empat keluarga) dan SMK Sungai Lembing empat orang (dua keluarga)," katanya ketika dihubungi di Kuantan malam ini.

Beliau berkata, di Rompin, enam PPS yang beroperasi ialah Balai Raya Kampung Setajam menempatkan 178 orang (49 keluarga), SK Sarang Tiong Kuala Rompin 128 orang (30 keluarga), dan SMK Pontian Jaya (83 orang 24 keluarga).

Di Dewan Kampung Pianggu pula terdapat 70 orang (23 keluarga), Balai Raya Kampung Sepayang 55 orang (13 keluarga) dan Balai Raya Teluk Gading 15 orang (lima keluarga).


-Bernama

Lihat Komen
ADS