Paling Popular
Terkini
story images
story images

Hampir lima bulan selepas meninggalkan Biro Politik PKR dan memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Ahli Parlimen Selayang William Leong hari ini berkata bahawa beliau bersedia mempertimbangkan semula keputusannya itu.

Ketika dihubungi, Leong berkata terdapat banyak desakan dan permintaan baginya mempertahankan kerusi parlimennya pada pilihan raya umum ke-14.

"Banyak NGO, dan orang ramai, ada juga dari BN - saya tidak akan beritahu siapa - telah meminta saya untuk mempertimbangkan semula.

"Mereka kata kita telah mulakan misi ini, jadi mari kita selesaikannya, Jadi ya, saya akan mempertimbangkan semula," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menambah bahawa misi itu adalah untuk menyelamatkan negara dan melaksanakan reformasi.

Pagi tadi, PKR cabang Selayang menghantar memorandum kepada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memohon supaya Leong kekal sebagai calon pilihan raya umum bagi parlimen Selayang.

Menurut anggotanya, Saharuddin Abu Bakar, selain PKR Cabang Selayang, sebanyak 35 NGO di parlimen berkenaan turut menyokong cadangan agar meletakkan Leong sebagai calon PKR pada pilihan raya umum ke-14.

Saharuddin berkata lagi, rata-rata yang bersetuju supaya Leong dikekalkan berpendapat, beliau merupakan seorang anggota parlimen yang berkaliber dan disegani oleh penduduk setempat.

"Kami yakin dengan kepimpinan William kerana prestasi yang baik yang beliau tunjukkan sepanjang menjadi anggota parlimen Selayang.

"Dan kami rasakan beliau sesuai kerana beliau faham dengan masalah di parlimen Selayang," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Selain itu, ditanya mengapa desakan tersebut dibuat sekarang, Saharuddin berkata tuntutan itu susulan kenyataan Leong pada tahun lalu yang behasrat untuk tidak lagi bertanding dalam pilihan raya umum.

Bagaimanapun, sekiranya Leong tidak terpilih, Sahabuddin berkata akar umbi di parlimen itu akan tetap memberi sokongan.

"Kami di peringkat bawah nyatakan hasrat agar William terus kekal.

"Tapi terpulang pada pucuk pimpinan parti. Sesiapa yang dicalonkan kita sokong. Cuma dalam keadaan sekarang ini, pihak kami yang di peringkat bawah mahukan William kekal di Selayang," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Malaysiakini melaporkan, Leong juga melepaskan jawatannya sebagai ahli Biro Politik PKR.

Keputusan Leong itu dibuat kerana tidak bersetuju dengan tindakan PKR yang meneruskan perbincangan dengan PAS pada ketika itu.

Malah, Leong turut memberitahu untuk tidak bertanding pada pilihan ray umum akan datang tetapi kekal sebagai anggota majlis pimpinan pusat PKR.

Lihat Komen
ADS