Sumbang derma bagi membantu mengumpul RM350,000 untuk tabung pembelaan Malaysiakini kini melepasi paras RM270,000 setakat pagi tadi.

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan sekali lagi merakamkan pengharagaan kepada penyokong portal berita bebas itu atas sumbangan mereka yang bermurah hati.

"Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang. Ia amat dihargai oleh kami semua di Malaysiakini.

"Kami berharap dapat mencapai matlamat RM350,000 tidak lama lagi supaya kami boleh kembali melakukan tugas kami, iaitu untuk melaporkan berita dan pandangan penting kepada rakyat Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan tersebut.

"Kemurahan hati para pembaca adalah melampaui jangkaan kami.

"Kami mungkin tewas kes berkenaan di mahkamah tetapi di mahkamah pendapat umum, komitmen Malaysiakini untuk melaporkan berita tanpa rasa takut atau memihak nampaknya cukup berjaya.

"Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua mereka yang bersusah payah menghulurkan hasil titik peluh mereka semata-mata mahu memastikan bahawa obor kebebasan akhbar di Malaysia tidak akan terpadam dan suara rakyat akan terus mempunyai tempat," katanya.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya setelah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Malaysiakini membayar gantirugi RM200,000 dan kos perundangan RM150,000 kepada Raub Australian Gold Mine (RAGM).

RAGM mengemukakan saman fitnah selepas Malaysiakini melalui tiga artikel dan dua klip video melaporkan mengenai kebimbangan penduduk mengenai aktiviti perlombongan - di mana bahan kimia berkaitan sianida digunakan untuk melombong emas - berhampiran kampung mereka di Bukit Koman di Raub, Pahang.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak saman RAGM atas alasan ia gagal membuktikan niat jahat di pihak Malaysiakini.

Walau bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang diketuai oleh Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 11 Januari.

Syarikat itu bagaimanapun telah menghentikan operasi perlombongannya dan memohon pembubaran pada tahun lalu.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh menyumbang ke dalam akaun berikut:

• Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd
• Nombor Akaun: 514253516714 (Maybank)
• Kod Swift: MBBEMYKL
• Alamat cawangan: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menderma menggunakan kad kredit dengan menghubungi kami di +603 7770 0017 atau melalui PayPal.

Artikel berkaitan:

Malaysiakini mohon bantuan orang ramai kumpul RM350,000
Sumbangan bantu Malaysiakini cecah RM100,000
Tabung kini RM185,000