Semua 13 hotel yang sebelum ini didapati melarang pekerjanya yang beragama Islam untuk memakai tudung bersetuju menarik balik peraturan itu.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, Presiden Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas di Putrajaya, hari ini.

Mohammed Shafie berkata, ia disahkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Datuk Mohd. Jeffry Joakim.

“Alhamdulillah, 13 hotel yang didapati melaksanakan prosedur operasi piawai (SOP) larangan bertudung terhadap pekerja wanita beragama Islam bersetuju menarik balik peraturan tersebut.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar aduan mengenai isu ini dan berharap tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap pengusaha hotel yang masih berdegil meneruskan peraturan diskriminasi itu,” katanya seperti dipetik.

Memetik Berita Harian semalam, berdasarkan pemeriksaan yang dibuat sejak Disember lalu, sejumlah 13 daripada 88 hotel di semenanjung yang melaksanakan SOP 'standard grooming', termasuk larangan bertudung, kepada pekerja wanitanya di bahagian tertentu.

Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini berkata telah memuktamadkan draf cadangan pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja, termasuk hak pekerja wanita beragama Islam untuk memakai tudung.

Isu ini mula muncul November lalu, apabila beberapa NGO, antaranya International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq) berkata menerima aduan bahawa pekerja hotel wanita Islam yang bekerja di kaunter hadapan tidak dibenarkan bertudung.

Pada 25 Januari lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sekali lagi menggesa orang ramai memboikot hotel antarabangsa yang masih lagi mengenakan larangan itu.

“Tak payah pergi hotel sebegini untuk nyatakan kekecewaan hotel tak beretika kerana tak membenarkan pekerja bertudung," kata ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan.