Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Polis siasat video 'Like a Dog' Namewee
Diterbitkan:  Feb 18, 2018 11:29 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Polis sedang menyiasat penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee berkaitan video klip bertemakan Tahun Baru Cina dengan judul 'Like A Dog'.

The Star memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun berkata kertas siasatan telah dibuka terhadap Namewee dan pihak polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan dengan niat mencetuskan kemarahan perasaan agama orang lain), dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas salah guna kemudahan atas talian," Fuzi dipetik sebagai berkata demikian pagi ini selepas melancarkan konvoi motosikal bagi kempen kesedaran Tabung Amanah Warisan Polis.

Fuzi menambah penyanyi rap kelahiran Muar itu diketahui tidak berada dalam negara pada masa ini.

Video itu menampilkan Namewee bernyanyi bahawa setiap anjing dari negara yang berbeza menyalak dengan cara yang berlainan.

Lirik itu menceritakan anjing Amerika menyalak dengan bunyi 'woof woof' dan salakan anjing Indonesia berbunyi 'bow bow'.

Manakala lirik itu menyebut anjing Malaysia menyalak 'mari mari wang wang'.

Namewee ditemani penari latar bertopengkan anjing yang menari yang berbaur unsur seksual dan menaburkan wang mengikut rentak muzik.

Dalam suatu hantaran video di YouTube semalam, Namewee menafikan menghina Islam dan berkata video muzik itu hanya untuk tujuan berhibur serta tiada sebarang niat untuk tidak menghormati sebarang agama atau kaum.

"Sebelum ini, saya menerbitkan lagu bertemakan ayam untuk Tahun Baru Cina dan lagu-lagu lain yang mengandungi elemen jenaka bagi merayakan Tahun Baru Cina.

"Saya tiada niat untuk menghina mana-mana agama atau kaum," katanya memberi makluman balas atas ulasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada Jumaat lalu.

Namee juga berkata video muzik itu dirakam di kaki lima jalan utama di Putrajaya dan bukan di dalam kawasan mana-mana masjid sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

"Bangunan dalam latar itu berjarak kira-kira 1km ialah pejabat perdana menteri," katanya menegaskan tiada rumah ibadat yang dipaparkan dalam video itu.

Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi dilaporkan berkata Namewee bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman setakat ini.

Bagaimanapun, Zahid memberi amaran penyanyi rap itu tidak menyalahkan pihak berkuasa jika tindakan diambil terhadapnya.

Disember tahun lalu, penyanyi rap berusia 34 tahun itu mendakwa pegawai Kementerian Dalam Negeri memberitahunya supaya 'tidak menyerahkan permohonan' untuk siri jelajah konsertnya '4896 world tour' di Kuala Lumpur.

Namewee mula terkenal kerana video muziknya di Youtube pada 2007.

Lihat Komen
ADS