Persatuan Taman Zoologi Malaysia dan Aquaria (Mazpa) mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak pengurusan Zoo Kemaman, berikutan dakwaan berlaku penganiayaan terhadap haiwan di zoo terbabit.

Lazarus memberitahu Malaysiakini bahawa terdapat beberapa kelemahan yang dilakukan secara tidak sengaja.

"Saya tak mengatakan zoo itu berada dalam keadaan yang teruk, tapi ada ruang untuk penambahbaikan," katanya.

Mazpa memulakan siasatan berikutan dakwaan yang dibuat oleh Friends of the Animals (MFOTA) dan Friends of the Orangutan Malaysia (Foto).

Kedua-dua kumpulan itu mendakwa mereka mempunyai bukti bergambar, antaranya mengenai gajah yang dirantai dan anak orang utan yang dikurung dalam sangkar kecil.

Berikutan itu, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan semua dakwaan berkenaan.

Bagaimanapun, Lazarus dan pasukannya mendapati dakwaan gajah dirantai itu adalah benar dan mengatakan ketika itu pagar elektrik di zoo berkenaan sedang diperbaiki.

"Apabila saya ke sana, gajah itu tidak dirantai dan tiada tanda tekanan," katanya.

Beliau berkata pasukannya menjalankan ujian indeks jisim pada gajah betina yang menunjukkan ia sihat manakala gajah jantan- yang dikatakan dirantai - mengalami sedikit penurunan berat.

"Kami mencadangkan mereka meningkatkan pemakanan gajah jantan itu dengan meningkatkan kuantiti pengambilan makanan terutama ketika mereka membawa gajah itu berjalan," katanya.

Sementara itu, Lazarus berkata beberapa ekor orang utan betina mengalami lebihan berat badan dan mencadangkan perubahan dalam diet haiwan berkenaan.

"Kami mengesyorkan beberapa perubahan diet. Perlu ada lebih banyak sayuran seperti lobak, timun dan kurangkan buah seperti betik," katanya.

Beliau juga menggesa zoo itu menambah platform pendakian agar haiwan itu dapat bersenam.

Mengenai tuduhan bahawa anak orang utan dikurung dalam sangkar kecil, Lazarus berkata pasukannya mendapati haiwan itu perlu dikuarantin kerana jangkitan mata.