Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar langgan pelacur, menteri kata akan dapatkan maklumat
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 3:55 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat dan pandangan lanjut polis sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung laporan sebuah akhbar mengenai dakwaan terdapat pelajar sekolah yang melanggan pelacur.

“Laporan itu hanya memetik kenyataan daripada pelacur terbabit yang mendakwa dilanggan oleh pelajar sekolah.

“Kebenaran (mengenainya) hanya boleh dipastikan selepas maklumat lanjut diperoleh daripada pihak polis,” katanya yang dipetik oleh Bernama pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 478 warga kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

Mingguan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan demi mengaut keuntungan, operator rumah pelacuran yang dikesan berselindung di sebalik premis pusat penjagaan kesihatan kini menggunakan gadis-gadis warga asing untuk menawarkan khidmat seks kepada pelajar sekolah.

Akhbar itu memetik seorang wanita warga Indonesia yang mengakui dibayar untuk melayan nafsu kumpulan remaja belasan tahun berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Menurut wanita berusia 25 tahun itu, secara purata, dia melayan dua hingga tiga remaja setiap hari.

Politik jalanan

Pada sidang medianya itu, Mahdzir turut menyelar perlakuan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggunakan platform pendidikan untuk membangkit kebencian pelajar kepada kerajaan.

Mahdzir berkata perbuatan tersebut mencerminkan politik keterlaluan setiausaha agung DAP itu sehingga sanggup merendahkan martabatnya selaku ketua kerajaan negeri dengan mengajar sesuatu yang tidak baik kepada kanak-kanak untuk kepentingan sendiri.

"Ia sama sekali tidak patut dilakukan seorang bertaraf Ketua Menteri yang tindakannya boleh disamakan dengan perangai seorang ahli politik jalanan," katanya.

Mahdzir mengulas video yang dimuat naik di laman Facebook milik Guang Ming Daily yang memperlihatkan Lim mengajar rentak lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang, baru-baru ini.

"Dalam sebuah negara majmuk, kita berpolitik yang membawa kepada perpaduan, bukannya politik kebencian,” kata Mahdzir.

Lihat Komen
ADS