Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini merumuskan agar ketidakpuasan hati terhadap beberapa isu dalam negara tidak dijadikan alasan menjual maruah negara.

Khutbah itu mengingatkan kepentingan sebuah negara dalam memastikan manusia dapat hidup dengan teratur, tertib dan aman.

Justeru, sebagai warganegara kita perlu melakukan sesuatu demi negara dengan mengharumkan nama negara.

Selain itu, khutbah 30 Mac itu menyorot bahawa ilmu pengetahuan dalam politik menurut perspektif Islam diperlukan untuk memelihara kedaulatan dan kestabilan negara.

Sidang Jumaat diingatkan agar tidak melakukan pengkhianatan dan kerosakan yang boleh menjejas kesejahteraan dan keharmonian.

Khutbah itu menegaskan bahawa selain keindahan alam semula jadi, Malaysia menjadi tumpuan dunia kerana keunikan sistem pentadbirannya yang mengamalkan prinsip kesederhanaan.

"Oleh itu, dalam konteks negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini, semua umat Islam wajib mengimpikan sebuah negara seperti negara Islam Madinah.

"Negara yang harmoni, aman damai, dibangunkan dan dipertahankan bersama-sama, menjadi tempat tumpahnya taat setia seluruh rakyat di samping menjunjung keluhuran undang-undang sepertimana penduduk Madinah menjunjung Piagam Madinah.

"Untuk mencapainya, semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat mestilah disemai dan dipupuk demi memastikan kesejahteraan sesebuah negara dapat diteruskan dan dikekalkan.

"Dalam hal ini, kerjasama golongan pemimpin dan rakyat sangat penting untuk digembeleng agar kedaulatan Islam kekal menunjangi pentadbiran negara," jelas khutbah itu.