Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar mengesahkan beliau tidak disenaraikan sebagai calon BN bagi jawatan menteri besar Selangor.

Apabila ditanya sama ada Umno Selangor mempunyai senarai bakal calon untuk jawatan itu, Noh berkata beliau menyerahkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membuat keputusan.

"Biar PM (tentukan). Yang saya ni tak ada dalam senarailah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Noh sebelum ini berkata beliau tidak memiliki cita-cita untuk menjadi menteri besar sekiranya BN menawan semula Selangor.

Sementara itu, Noh berkata beliau tidak tahu sama ada Isham Jalil, pegawai khas kepada Najib, merupakan calon bagi jawatan menteri besar Selangor.

"Saya mana tahu. Saya pun tak tahu saya bertanding ke tak," katanya ketika diminta pengesahan.

Sumber yang mempunyai kedudukan dalam BN mendakwa calon yang paling mungkin menduduki jawatan menteri besar Selangor ialah Isham (gambar).

Pemuda berusia 41 tahun ini sangat berkelayakan dari segi akademik kerana merupakan lepasan pengajian politik, ekonomi dan undang-undang dari Universiti Harvard.

Beliau juga pernah menuntut di Wharton School of Business of the University of Pennsylvania dalam jurusan kewangan dan kini bertugas di Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Namanya sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN di Paya Jaras, dalam kawasan parlimen Sungai Buloh.

Sumber berkata keperibadian dan latar belakang Isham menjadikannya pesaing utama untuk mengambil alih jawatan yang kini disandang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Di Selangor, kita perlukan seseorang yang boleh bersaing dengan Azmin. Orang hanya tahu Noh atau Jamal Mohd Yunos.

"Walaupun mereka terkenal, kedua-dua tidak sesuai, Isham boleh mengganti Azmin, dia mempunyai pendidikan yang baik dan dia bersih," kata sumber itu.

Lihat Komen
ADS