Insiden seorang ahli politik ditahan di sebuah pusat hiburan kerana disyaki mengambil dadah pada Isnin lalu mencetuskan bermacam gurauan yang tersebar di media sosial.

Walaupun tokoh terbabit belum didakwa di mana-mana mahkamah, penjelasan yang diberi mengenai penahanan itu menarik perhatian ramai.

Justeru muncul beberapa sindiran serta gurauan yang menjurus kepada insiden berkenaan.

Antaranya ialah bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor, yang memuat naik lampiran klip video filem Labu Labi pada akaun Facebooknya.

"Pergi nightclub (kelab malam) minum kopi ni sama macam M Zain dalam filem Labu-Labi. Adik Jesse James masuk bar mintak susu," katanya mengiringi klip video filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramle itu.

Individu lain pula memuat naik gambar sebuah pusat hiburan dan karaoke dengan menawarkan minuman "kopi dan teh saja" dan dijamin halal.

Sekeping gambar lain pula memaparkan sebalang minuman kopi berjenama Nescafe "Ice" yang secara tidak langsung turut merujuk kepada insiden di karaoke berkenaan.

Yakin disabotaj demi politik

Kelmarin Malaysiakini melaporkan seorang pemimpin Umno di salah sebuah bahagian di Kuala Lumpur ditahan dalam serbuah polis di Jalan Imbi kerana gagal dalam ujian air kencing.

Pemeriksaan awal mendapati suspek terbabit positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata individu terbabit ditahan bersama sekumpulan rakannya yang disiasat bagi kesalahan sama.

“Ditahan dalam bilik sekitar 10 orang. Semua ditahan, semua positif (amphetamine dan methamphetamine)," katanya.

Serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu berlangsung kira-kira jam 2 pagi selepas mereka mendapat maklumat mengenai aktiviti hiburan tanpa lesen.

Hari ini individu terbabit tampil memberi penjelasan.

Datuk Rizalman Mokhtar mengakui dirinya adalah orang yang ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kelab malam pada awal pagi Isnin lalu.

Namun menurut ketua Umno Bandar Tun Razak itu beliau yakin menjadi mangsa sabotaj pihak tertentu yang tidak dapat dikenal pasti olehnya.

Rizalman juga menegaskan beliau tidak mengambil dadah dan insiden itu dipercayai perangkap untuk menjejaskan peluangnya menjadi calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Menjelaskan apa yang terjadi, Rizalman berkata beliau ke kelab berkenaan sekadar untuk berhibur dan minum kopi.

“Tiada minuman keras mahupun dadah. Itu yang saya pelik bagaimana saringan awal mendapati saya positif dadah.

“Saya boleh katakan ini perangkap kerana tidak mengambil dadah dan ketika ditahan pun saya normal serta tidak khayal,” katanya.

Sementara itu ada beberapa pihak pula 'mendaftar masuk' di kelab malam berkenaan melalui aplikasi Facebook, diiringi dengan status lucu.

Antaranya Azlan Sharif yang memuat naik dua keping gambar di di Facebook dengan iringan kata-kata: "Nak cari kopi kat kelab malam pada jam 2 pagi."


Baca Zaleha dah buat apa yang ahli politik gagal


Allen Lee pula mengemas kini status di Faceboonya dengan ayat: "I heard got nice coffee here!! (Saya dengar ada kopi yang bagus di sini!!).

Berdasarkan catatan serta status di media sosial perhatian orang ramai lebih terarah kepada kenyataan Rizalman yang mendakwa beliau ke pusat hiburan itu untuk "minum kopi".

Menariknya kekecohan mengenai minuman kopi itu berlaku hanya beberapa hari selepas peminat masakan Nusantara 'bersatu' mengecam personaliti TV United Kingdom, John Torode dan Gregg Wallace yang mengkritik peserta program realiti MasterChef UK kelahiran Kuantan, Pahang, kerana gagal menyediakan rendang mengikut cita rasa mereka.