Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Exco kerajaan Kelantan tidak perlu menyerahkan kenderaan rasmi mereka seperti di Selangor, kata timbalan menteri besar sementara Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata ini kerana mereka masih menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara.

"Tak perlu serahkan sebab kerajaan masih ada iaitu kerajaan sementara, dan exco masih berhak menggunakan kenderaan ini untuk urusan-urusan rasmi.

"Kita masih lagi exco sehingga kerajaan baru ditubuhkan selepas pilihan raya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut amalan sistem Parlimen Westminster, sebaik pembubaran Parlimen di peringkat pusat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri, kerajaan sedia ada menjadi 'kerajaan sementara' sehinggalah kerajaan baru dibentuk dan ketua eksekutif dilantik.

Azmin serta barisan exco kerajaan Selangor hari ini menyerahkan kembali kereta rasmi kepada kerajaan negeri susulan pembubaran DUN.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata lagi, harta milik kerajaan negeri hanya tidak boleh digunakan untuk urusan politik.

"Apa yang tak boleh adalah guna untuk urusan parti dan berkempen, itu tak bolehlah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS