TINJAUAN l Beberapa ahli Umno Bandar Tun Razak mengalu-alukan laporan mengenai ketua wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mungkin dipilih sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen di situ.

Ketika ditemui Malaysiakini malam tadi, mereka kelihatan berhati-hati kerana pencalonan Shahrizat belum lagi disahkan secara rasmi tetapi gembira dengan prospek calon Umno bertanding kerusi tersebut.

"Insya-Allah jika benar, maka itu bagus kerana ia bermakna calon dipilih dari Umno.

"Selama ini calon dari MCA, tetapi jika calon dari Umno, Alhamdulillah," kata pesara berusia 68 tahun Md Shah Abdul Ghani.

Beliau bercakap kepada Malaysiakini selepas ceramah yang dianjurkan oleh Umno Bandar Tun Razak di salah sebuah bilik operasi pilihan raya peringkat daerah mengundi malam tadi.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang, yang dikatakan terdiri daripada anggota jentera Umno tempatan. Hampir semuanya memakai baju biru gelap yang memaparkan logo BN.

Shah berkata beliau tidak kisah jika calon Bandar Tun Razak itu bukanlah orang tempatan, asalkan dia calon dari Umno.

Zauyah Zainuddin, 43, yang bekerja sebagai bendahari di sebuah koperasi, berkata jentera parti akan menyokong sesiapa saja yang dipilih pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak sebagai calon di situ.

"... MCA telah bertanding di Bandar Tun Razak sebelum ini tetapi kami mahu (calon) Melayu.

"Ini kerana selepas persempadanan semula, orang Melayu merupakan 61 peratus (pengundi) di sini, jadi ia sepatutnya seorang (calon) Melayu,"katanya.

Bagaimanapun, beliau berulang kali menegaskan bahawa jentera parti akan memastikan kemenangan sesiapa sahaja calon BN yang bertanding di kawasan itu.

Sebelum persempadanan semula yang diwartakan baru-baru ini, orang Melayu merupakan 53 peratus pengundi di situ.

Seorang lagi yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Mak Cik Pah memuji Shahrizat dan berkata adalah bagus jika dia bertanding di Bandar Tun Razak.

Bekas kakitangan awam berusia 69 tahun itu berkata beliau kerap melihat Shahrizat dalam majlis-majlis, dan tidak kisah jika dia dicalonkan di Bandar Tun Razak, dan bukannya calon tempatan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa pelbagai sumber Umno termasuk dari kepimpinan pusat mengatakan parti itu akan bertanding di kerusi itu dengan meletakkan Shahrizat sebagai calonnya.

MCA telah bertanding kerusi Parlimen Bandar Tun Razak sejak 1995, tetapi Umno telah melobi peluang untuk bertanding kerusi itu sejak sekian lama dan dikuatkan lagi dengan perubahan demografi dalam persempadanan semula baru-baru ini.

Namun begitu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bertegas bahawa Bandar Tun Razak masih milik MCA untuk bertanding, manakala ketua MCA tempatan, Chew Yin Keen, berkata MCA tidak akan menyerahkan kawasan pilihan raya itu kepada Umno.

"Pada bulan ini sahaja, saya telah mendengar (spekulasi) lima calon (BN) yang berbeza untuk Bandar Tun Razak.

"Siapa yang awak mahu saya percayai? Jangan risau. Ia adalah kawasan pilihan raya kami. Kami akan mempertahankannya," kata Wee kepada Malaysiakini semalam.

Namun ada juga ahli Umno Bandar Tun Razak yang menyuarakan pendapat sebaliknya berhubung pencalonan Shahrizat itu.

Bekas setiausaha bahagian Zaharin Mohd Yasin menulis di Facebook untuk mengatakan bahawa bahagian itu bukan "tong sampah" dan menuntut calon tempatan.

Manakala orang dalam parti memberitahu Malaysiakini bahawa ada kebimbangan dalam parti bahawa skandal National Feedlot Centre yang mengaitkan keluarga Shahrizat boleh kembali menghantuinya, walaupun suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail telah dibebaskan daripada tuduhan salah laku.

Ketua Umno Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi semalam bahawa beliau masih tidak tahu menahu berkaitan ura-ura Shahrizat bakal bertanding di situ, dan berkata beliau “OK” dengan mana-mana calon yang akan dipilih,

Kerusi itu dikatakan sudah ditetapkan bakal ditandingi Umno dan nama Rizalman disebut-sebut sangat berpotensi - sehinggalah beliau ditahan pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan minggu lalu.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian polis mengesahkan ujian air kencing menunjukkan Rizalman negatif dadah.

Apabila Rizalman muncul di ceramah malam tadi, beliau tidak bercakap banyak kecuali untuk memberi pengenalan ringkas mengenai acara itu dan penceramahnya, dan beliau berharap seorang calon Umno akan bertanding di Bandar Tun Razak.

Hari penamaan calon akan diadakan pada 28 April, manakala hari pengundian akan diadakan pada 9 Mei.

{Baca berita penuh]