Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laluan sukar ketua Wanita BERSATU tanding Titiwangsa

PRU14 | Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, Titiwangsa terkenal dengan tasik riadah indah dengan nama yang sama.

Tetapi bagi Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Rina Harun, usahanya untuk bertanding kerusi Parlimen Titiwangsa tidak semudah bersiar di taman indah

Parlimen itu bakal menjadi salah satu kerusi paling sengit di Wilayah Persekutuan semasa PRU14 akan datang. Ahli Parlimen penyandang, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menang tipis pada 2013 dengan majoriti 866 undi.

Tetapi sebelum Rina boleh berfikir untuk mengalahkan Johari, beliau mesti memenangi persetujuan partinya sendiri.

Pencalonan Rina, yang dijangka diumumkan secara rasmi malam ini di Putrajaya, telah mengejutkan ramai pihak dalam BERSATU, ketika keputusan itu dibuat dalam mesyuarat parti dua minggu lalu.

Hal ini kerana ahli akademik dan timbalan ketua biro strategi BERSATU Wan Saiful Wan Jan telah disandarkan sebagai pilihan utama untuk bertanding kerusi itu.

Sementara Wan Saiful sendiri berkata beliau akan mematuhi keputusan parti itu, ahli majlis tertinggi yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan itu, berkata Rina akan memberi Johari laluan kemenangan mudah.

"Kami baru sahaja kehilangan kerusi dengan mudah kepada BN. Kami mempunyai peluang yang lebih baik dengan Wan Saiful tetapi sekarang, Rina hanya ibarat makanan buat Johari.

"Saya berharap kepimpinan pusat akan menimbang semula keputusan ini dan matlamat utama kami adalah untuk memenangi pilihan raya dengan calon yang kuat. Kita mesti memenangi pilihan raya ini," kata sumber itu.

Ahli majlis tertinggi BERSATU itu menjelaskan lanjut terdapat rundingan melalui jalan belakang yang membawa kepada pencalonan Rina, yang menjadikan BERSATU seperti 'Umno 2.0'.

Manakala itu, AJK Pemuda BERSATU bahagian Titiwangsa, Mohd Syafiq Shabaruddin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan mematuhi keputusan parti tetapi merasakan Rina akan berhadapan laluan lebih sukar berbanding Wan Saiful.

"Kebanyakan anak muda di bawah 40, mereka lebih suka Wan Saiful.

"Apapun, mana-mana yang dicalonkan. Kita akan cuba yang terbaik untuk Tititwangsa," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Wanita BERSATU Wilayah Persekutuan Norma Ali optimis menjangkakan Johari dapat dikalahkan dalam suatu pertandingan yang adil, tanpa menghiraukan calon daripada partinya.

"Saya percaya 80 peratus boleh menang (berdasarkan) apa yang sudah turun padang sejak beberapa bulan, asal mereka tak main kotor," kata Norma.

Johari turut berhadapan cabaran dalaman partinya.

Bulan lalu, kain rentang dinaikkan (gambar, atas) di kawasan parlimen itu mendesak Umno untuk meletakkan calon selain Johari di situ.

Johari mendakwa tindakan itu sabotaj individu dalam bahagian Umnonya.

Malaysiakini difahamkan Wan Saiful akan ditawarkan bertanding di kerusi parlimen lain.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS