Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN tonjol kenyataan Seng Giaw: Najib tak terlibat 1MDB
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 4:46 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

PRU14 |  BN kini menonjolkan kenyataan veteran DAP Dr Tan Seng Giaw bahawa Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak tidak terbabit dalam skandal 1MDB.

Penonjolan kenyataan bekas anggota parlimen Kepong selama 8 penggal itu dikatakan sebagai malum balas terhadap gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sebelum ini menyerang Najib berkaitan skandal 1MDB.

Laman Facebook BN hari ini memuat naik petikan wawancaranya berkaitan 1MDB dan Dr Tan sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa Najib tidak bersalah dalam skandal tersebut.

“Kita pun ada meneliti apa masalah yang timbul kerana 1MDB dan kalau kita kira 1MDB ada laporan ketua PAC, setakat ini tak diumumkan.

“Tapi saya ada teliti banyak kali isi kandungan 1MDB, laporan 1MDB ketua audit negara didapati kesalahan pokok daripada ketua pegawai eksekutif waktu itu.

“Dan kita dalam PAC buat syor, cadangan supaya adakan siasatan lanjut dan dengan siasatan itu kita berharap dapat mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Kalau kedaulatan undang-undang adalah isu pokok maka seseorang itu sebelum didapati salah oleh hakim bersalah oleh hakim mahkamah, dia tidak bersalah,” kata Dr Tan dalam video berdurasi 1 minit 32 saat itu.

DAP menggugurkan Dr Tan daripada menjadi calon pada PRU14 selepas 36 tahun beliau menjadi wakil rakyat di Kepong.

Kerusinya itu akan digantikan oleh penyandang kerusi parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Pengguguran Tan itu dipercayai ekoran kenyataan beliau sebelum ini yang mengatakan laporan PAC terhadap 1MDB tidak membabitkan Najib.

Sejak pengumuman itu, Dr Tan juga telah ditemuramah secara meluas oleh media mesra BN termasuk New Straits Times dan Berita Harian.

Sebelum ini, beliau berkata tidak akan berundur dan masih berminat untuk mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, selepas DAP menggugurkan namanya sebagai calon parti itu, Tan berjanji tidak akan berpaling tadah atau melompat ke parti lain.

 

 


 

Lihat Komen
ADS